Pejuang bertanding dalam PRN Johor kerana tidak mahu perasuah terus diberi kuasa

Oleh Oleh SITI NUR ZAWANI MISCON

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad, menyatakan rasa terkilan kerana tidak dapat bersama dengan ahli partinya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berikutan masih perlu mendapatkan rawatan susulan di hospital.

Menerusi surat kepada ahli parti itu yang dimuat naik di Facebook rasminya hari ini, Dr Mahathir memberitahu bahawa penglibatan Pejuang dalam PRN kali ini kerana tidak mahu kumpulan yang tidak amanah, rasuah dan mencuri harta rakyat mendapat kuasa dan terus merosakkan bangsa, agama dan negara.

Beliau menegaskan bahawa penglibatan Pejuang bukan untuk meraih kekayaan diri dan memuas nafsu duniawi, tetapi untuk melepaskan negeri dari cengkaman mereka yang sedemikian (mereka yang tidak amanah).

“Pasti ada yang akan mempertikai dan bertanya apa beza Pejuang dan parti-parti lain. Pejuang berbeza kerana ia ditubuh oleh mereka yang sanggup melepas jawatan dan kedudukan kerana prinsip perjuangan.

“Pejuang juga berbeza kerana ia terdiri dari mereka yang tidak sanggup bersekongkol dengan pengkhianat dan kleptokrat,” katanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu juga berkata, rakyat Johor seharusnya merasa bangga kerana dipimpin oleh Datuk Dr Shahruddin Md Salleh yang sanggup melepaskan jawatan dan kedudukan kerana tidak mahu bersekongkol dengan pengkhianat dan kleptokrat.

Katanya, Dr Shahruddin berdiri sebagai bukti bahawa pejuang-pejuang partinya tidak meletak kepentingan diri sebagai objektif perjuangan.

“Namun kita juga sedar laluan yang kita ambil bukanlah mudah. Tetapi perjuangan lahir dari jalan-jalan yang berliku yang penuh dengan onak dan duri,” ujarnya lagi.

Pejuang akan bertanding 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan majoriti Melayu pada PRN Johor nanti.

Ia merupakan penyertaan pertama Pejuang dalam pilihan raya selepas menolak untuk bertanding dalam PRN Melaka dan PRN Sarawak sebelum ini disebabkan pandemik Covid-19.