Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia supaya memudahkan proses pendaftaran pengundi pos termasuklah penghantaran kertas undi dilakukan secara mudah, telus dan tepati masa untuk sampai ke pusat pengiraan undi.
Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, perkara ini amat penting kerana dianggarkan lebih 100,000 pengundi Johor berada di Singapura dan keupayaan mereka untuk pulang mengundi tentunya terhad setelah pulang bercuti sempena cuti Tahun Baru Cina awal minggu ini.
“SPR tentunya faham bahawa kegagalan untuk mempermudahkan undian kepada begitu ramai pengundi yang berada di seberang Selat Tebrau merupakan satu penafian hak mereka sebagai rakyat dan menjejas demokrasi yang didokong bersama.
“Segala usaha perlu dibuat bagi mencapai jumlah peratusan keluar mengundi yang tinggi supaya kerajaan Johor yang bakal terbentuk nanti benar-benar mendapat mandat yang besar dalam kalangan rakyat Johor.
“SPR perlu lebih agresif dalam membuat hebahan melalui media perdana dan sosial bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengundi baru akan hak dan kepentingan mereka untuk mengundi serta disarankan agar hari pengundian diadakan pada hari Sabtu supaya tiada keperluan pengundi untuk mengambil cuti bagi menunaikan tanggungjawab mereka, ” saran beliau melalui laman Facebook.
Tambahnya, calon-calon perlu diberi peluang menyantuni rakyat di lapangan dengan SOP yang jelas dan adil kepada semua pihak bagi memastikan semua parti dapat berkempen secara berkesan serta tiada mana-mana parti yang menggunakan kedudukan mereka untuk memonopoli atau mengawal media arus perdana sehingga mengakibatkan laporan berat sebelah dan tidak menyeluruh.
Kata Mukhriz lagi, keupayaan calon dan jentera kempen menyantuni rakyat dan menerangkan mengenai parti mereka adalah penting supaya pengundi dapat membuat keputusan berdasarkan fakta serta mengekang pihak yang mempunyai kepentingan politik memesongkan demokrasi dengan memaksa agensi kerajaan bertindak secara tidak demokratik.
Sejajar dengan itu kata Mukhriz, PRN Johor perlu berlangsung dengan teratur dan adil bagi semua pihak dan Pejuang optimis SPR mampu memikul tanggungjawab yang sangat mustahak ini agar sistem demokrasi negara dilihat lebih cekap dan telus.