Pekerja FAMA mengaku kutuk bos sendiri di media sosial, kena denda RM10K

Oleh ROSLAN ZAMAN

Seorang pekerja Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka didenda RM10,000 selepas mengaku membuat komunikasi jelik mengutuk bekas Ketua Pengarah FAMA negeri Melaka di media sosialnya dua tahun yang lalu.

Memetik dari Harian Metro, Hakim Haderiah Siri menjatuhkan hukuman itu terhadap Adi Ariff Ahmad, 51, selaku Orang Kena Saman (OKS) dan memerintahkannya dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Tertuduh didakwa membuat hantaran yang jelik sifatnya menerusi akaun X.com pada 11.33 pagi 11 Oktober 2023.

Bagaimanapun Adi Ariff tidak diwakili peguam merayu hukuman minimum kerana dia menanggung empat anak yang masih bersekolah selain menjaga ibunya yang kurang sihat.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Baca: Penjual berkeras tak bagi pelanggan pertama beli nasi kosong sahaja, warganet perjelas sebab sebenar