Bosan kena marah pelancong, pekerja kedai caj RM5 setiap kali tanya arah

Oleh KIM SYAZIE

Seorang pekerja pasar mini di Hong Kong nekad mengenakan bayaran kepada semua pelancong yang datang ke kedai itu hanya sekadar mahu bertanya arah.

Selepas diselidiki rupa-rupanya pasar mini itu sentiasa menjadi tempat pelancong bertanya soalan, dan memberitahu mereka penat kerana terpaksa menjawab pelbagai soalan.

Pasar mini SuperOne sebelum ini merupakan kaunter tiket bas rentas sempadan antara Hong Kong dan Macau yang dikelola oleh Syarikat Eternal East Bus.

Bagaimanapun, sejak bandar raya itu membuka sempadan dan menerima kedatangan pelancong, pekerja kedai itu didakwa menjadi lebih letih kerana perlu menjawab pelbagai pertanyaan daripada pelancong

“Terdapat kira-kira 20-30 orang bertanyakan arah, kebanyakan mereka bertanya lokasi terminal bas rentas sempadan,” kata Yuki yang merupakan pengurus kedai tersebut, seperti yang dilaporkan Agensi.

Kekecewaan pengendali kedai itu akhirnya memuncak apabila pelancong bersikap kasar dan tidak berterima kasih kepada pekerja. Disebabkan itu, mereka meletakkan papan tanda bertulis: ‘Bayaran HK$10 (RM5) untuk setiap soalan mengenai arah’.

Notis itu juga memberitahu bahawa pekerja kedai tidak diwajibkan bersikap baik kepada pelancong.

Gambar papan tanda itu tular pada Jumaat lalu tetapi dua hari kemudian, notis itu telah ditarik balik setelah pengurus kedai itu mendapat aduan daripada orang ramai.

“Kami cuma mahu orang ramai berhenti bertanya soalan kerana kadangkala ia menjejaskan tugas harian kami,” kata Yuki.

Walaupun sudah beberapa hari notis ditampal, Yuki mengaku dia tidak pernah mengutip walau sesen pun wang daripada mereka yang bertanya.

Baca juga: Tular video bergaduh, akhirnya bekas KPN dedah apa sebenarnya terjadi