Pelajar Indonesia kata Malaysia bersih gila sampai mereka ‘culture shock’ bila balik negara sendiri

Oleh KIM SYAZIE

Seorang penuntut universiti dari Indonesia mengakui kagum dengan tahap kebersihan negara ini yang dianggap jauh berbeza dengan negaranya.

Setelah bertahun-tahun menetap di Malaysia, dia pernah mengalami kejutan luar biasa ketika pulang ke tanah air sewaktu mengunjungi salah satu Family Mart di Jakarta Selatan.

Katanya, dia tidak menduga kedai serbaneka itu sangat kotor dengan sampah berselerakan di meja dan di lantai.

Sedangkan katanya, Family Mart di Malaysia sangat terjaga dari sudut kebersihan dan disiplin pelanggan.

“Setelah bertahun-tahun tinggal di Malaysia, aku pernah terkejut sangat waktu masuk ke salah satu Family Mart di Jakarta Selatan. Sampah berselerakan di meja dan di lantai.

“Padahal, selama aku berkunjung ke banyak Family Mart di Malaysia, kebersihannya selalu dijaga.

“Pengunjung bertanggungjawab membersihkan sendiri meja setelah makan, membuang sampah pada tempatnya, dan menjaga kenyamanan bersama,” katanya dalam satu perkongsian di Instagram mengenai Malaysia.

Dari situ dia mula berfikir bahawa Indonesia sering berbangga menjadi bangsa yang ramah dan sopan, namun adakah mereka sebenarnya peduli pada hal-hal asas seperti menjaga kebersihan persekitaran.

Dia turut menyentuh isu IQ purata rakyat Indonesia yang dilaporkan berada pada tahap 78 – angka yang dikaitkan dengan kelemahan dalam aspek kemajuan sosial.

“Aku jadi paham kenapa data menunjukkan bahwa IQ rata-rata orang Indonesia masih tergolong rendah, iaitu di angka 78. Ini bukan untuk merendahkan.

“Kalau hal sederhana seperti membuang sampah pada tempatnya saja masih diabaikan, bagaimana kita bisa bergerak ke arah masyarakat yang lebih maju dan beradab?,” ujarnya.

Sementara itu di ruangan komen, beberapa netizen seberang turut bersetuju dengan kenyataan itu, mengakui ruangan awam dan udara di negara ini jauh lebih bersih dan nyaman.

Mereka berpendapat faktor pendidikan yang baik menyumbang kepada sikap disiplin majoriti rakyat Malaysia.

“Betul, dan saya sangat mengaguminya, orang Malaysia taat aturan, berpendidikan. Melihat orang orang Malaysia, saya sadar kalau pendidikanlah yang membuat mereka bisa seperti itu.

“…dan hal pertama yang membuat saya kagum kepada mereka adalah ketika pertama kali melihat mereka tertib ketika di jalan raya, tak langgar lampu merah, walaupun tak ada kenderaan lain, yang ada cuma dia sendiri, dia tetap patuh sampai lampunya hijau,” komen seorang pengguna IG.

Baca juga: “Suami minta RM50k kalau nak cerai khuluk” – Ini penjelasan peguam syarie, isteri jangan terburu setuju