Salah seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menaiki bas terlibat dalam kemalangan tragis awal pagi semalam mendakwa sudah merayu pemandu memperlahankan kenderaan namun tidak diendahkan.
Perkara itu didedahkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad susulan melawat salah seorang mangsa yang terselamat iaitu Lili Suzana Mat Yaakob.
Lili yang berusia 23 tahun itu sedang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, Perak bersama seorang lagi pelajar universiti berkenaan iaitu Nor Erika Elysha Mohd Zaidi.
Menurut Noraini, Lili Suzana mengaku memberi amaran berkali-kali kepada pemandu bas bahawa kenderaan yang dipandunya itu terlalu laju namun tidak diendahkan, lapor Harian Metro.
“Dia (Lili Suzana) berkata pemandu memandu laju dan dia menegur pemandu berkali-kali supaya tidak memandu dengan laju. Dia masih trauma. Dalam situasi sebegitu, sesiapa pun pasti akan trauma.
“Apatah lagi apabila kenderaan terbalik. Kita dapat lihat kesan trauma itu dengan jelas, jadi kita tawarkan khidmat kaunseling kepada mangsa dan juga ahli keluarga mereka,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Noraini juga memaklumkan bahawa kedua-dua pelajar itu kini berada di dalam keadaan stabil walaupun Nor Erika belum sedar sepenuhnya namun mereka berdua masih memerlukan rawatan lanjut di hospital.
Dalam pada itu, kesemua mangsa yang terkesan akibat daripada kejadian tersebut juga akan disalurkan bantuan terutamanya perkhidmatan kaunseling dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
“Salah seorang daripada mereka (Nor Erika Elysha) masih menerima ubat dan belum sedar sepenuhnya. Manakala seorang lagi (Lili Suzana) boleh bercakap dengan kita dan kelihatan stabil.
“Kita minta pelajar jangan merasa risau kerana pihak UPSI, hospital, dan Jabatan Kebajikan Masyarakat sentiasa ada untuk membantu. Apa yang penting adalah mereka kembali bersemangat dan meneruskan pengajian.
“Kita doakan agar mereka segera sembuh,” ujarnya yang turut menzahirkan harapan supaya kedua-dua pelajar itu pulih secepatnya dan dapat kembali ke universiti mereka untuk meneruskan perjuangan menyambung pelajaran.
Terdahulu, seramai 15 pelajar UPSI terkorban selepas bas dinaiki mereka yang berada dalam perjalanan dari Jerteh ke kampus utama universiti di Tanjung Malim itu terlibat dalam kemalangan di KM53 Jalan Raya Timur-Barat.
Baca juga: Tragedi UPSI: Pemandu bas akan direman selepas rawatan