Pelajar UPSI meninggal dunia dengan al-Quran di pelukan, abang dedah arwah hafaz 30 juzuk

Oleh WAN SITI AMINAH

Pemergian salah seorang mangsa kemalangan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik membabitkan pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada awal pagi Isnin lalu telah menarik perhatian ramai baru-baru ini.

Mana tidaknya, Allahyarhamah Nurly Shahirah Azman itu bukan sahaja seorang hafizah yang menghafaz 30 juzuk al-Quran malah turut dikatakan memegang kitab suci berkenaan ketika menghembuskan nafas terakhirnya.

Perkara itu didedahkan oleh abang mangsa yang dikenali sebagai Mohd Najmuddin Azman menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya bersama satu tangkap layar perbualan mengenai keadaan jasad arwah adiknya.

“Dik, kau pergi dengan al-Quran di tangan dan dada kau. Allahhu dik. Abang berbangga dengan kau dik. Kau pergi mana-mana, tak pernah tinggal al-Quran kau dik. Hebat mukjizat al-Quran,” kata lelaki berusia 28 tahun itu.

Menerusi perkongsian berbeza, Najmuddin turut memuat naik gambar memaparkan koleksi tahriri ataupun salinan tulisan tangan al-Quran yang dibuat sendiri oleh arwah bertujuan untuk menguatkan hafalannya.

Najmuddin dalam hantaran itu mengaku turut dihubungi oleh pihak media bertanyakan tentang amalan dilakukan oleh adiknya memandangkan di lokasi kejadian dikatakan sangat wangi.

“Antara tahriri koleksi arwah. Arwah suka mengulang al-Quran. Arwah juga tulis satu al-Quran guna tangan untuk kuatkan hafalannya. Berpusu-pusu media menghubungi aku, dik. Tanya apa amalan kau, dik.

“Ada media beritahu yang dekat tempat kejadian, wangi sangat. Dik, kau jaga al-Quran dengan sangat baik. Kau tak pernah tinggal mengulang al-Quran setiap hari. Kita jumpa di syurga ya, dik. Kami sayang kau dik. Tenanglah kau disana dik.” Ujarnya dalam perkongsian itu.

Terdahulu, berlaku satu kemalangan tragis membabitkan sebuah bas yang berada di dalam perjalanan menuju ke kampus UPSI dari Jerteh, Terengganu dengan sebuah Perodua Alza di JRTB, Gerik.

Kemalangan yang berlaku kira-kira pada pukul 1.10 pagi membabitkan 48 mangsa itu bukan sahaja telah meragut nyawa arwah Nurly Shahirah malah turut mengorbankan 14 pelajar UPSI lain.

Mangsa yang terkorban ialah Sufea Adela Maslihaizan, 21, Mohammad Aqil Taqiudin, 21, Anis Soffiyya Md Zaidi, 20, Nur Ainul Qistina Mat Ali, 21, Muhammad Adib Hazim Halim, 21, dan Wan Nur Suhaila Wan Mohammad, 22.

Turut meninggal dunia Fakhrul Arif Rosdi, 20, Nurul Fatihah Abu Setaman, 22, Nur Dalila Farhana Mohamad Isma, 21, Nurul Izyanti Muhamad Azahar, 21, Nur Amni Nadiah Nik Nor Zabir, 21, Muhammad Mustaqim Rosde, 21, Nor Ayuni Maslan, 21, dan Fatin Nasrien Fadli, 22.

Baca juga: Pelajar UPSI dakwa sudah rayu pemandu bas perlahan kenderaan tetapi tak diendah