Pelakon lelaki pindahkan semua harta pada kekasih 36 tahun lebih muda

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon popular Hong Kong, Lee Lung Kei mendedahkan bahawa kesemua tujuh hartanah miliknya telah dipindahkan kepada teman wanitanya.

Masih belum berkahwin, Lee bertindak sedemikian bagi menjamin masa depan buah hatinya, Chris Wong yang berusia 36 tahun itu.

Perbezaan umur yang ketara tidak menghalang pasangan kekasih itu untuk menjalinkan hubungan yang stabil dan bahagia.

Sudah bercinta selama empat tahun, mereka berdua berkongsi minat yang sama dalam bidang penerbangan.

Lee gemar bermain kapal terbang mainan kawalan jarak jauh manakala kekasihnya merupakan seorang jurutera pesawat.

Pelakon yang terkenal dengan drama bersiri Journey to the West itu turut meluahkan hasratnya untuk mendirikan rumah tangga.

“Sekiranya semua berjalan lancar, perkahwinan kami akan berlangsung tahun ini juga dan saya mahu adakan (majlis) secara sederhana.

“Tidak akan ada majlis besar-besaran. Saya akan undang beberapa teman sahaja untuk makan bersama,” katanya.

Hubungan pasangan itu mula terbongkar pada tahun 2020 lalu apabila wanita itu mengalami keguguran anak pertama mereka.

Media Hong Kong melabel percintaan mereka sebagai ‘hubungan datuk dan cucu’ ekoran mempunyai jarak usia sebanyak 36 tahun.

Baca juga: Bau benda hangit, sebuah keluarga terima ujian di hari pertama persekolahan