Umum tahu Malaysia banyak dibanjiri pelakon dari negara jiran, Singapura malah kebanyakan mereka juga kerap memegang watak utama untuk drama di sini.
Setelah 10 tahun menggunakan pas residen, pelakon Singapura Shah Iskandar teruja apabila dia boleh memohon taraf Pemastautin Tetap (PR) Malaysia tahun depan.
Menurut Kosmo! Online pelakon berusia 42 tahun itu memaklumkan permohonan tersebut akan dikemukakan tahun depan selepas sedekad menggunakan pas residen.
“Insya-Allah, tahun depan saya sudah boleh memohon status penduduk tetap. Doa selepas 10 tahun saya menanti.
“Sekarang ini saya menggunakan pas residen untuk keluar masuk Malaysia bagi tempoh tertentu seperti lima tahun dan 10 tahun,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Anggap peluang cerah
Sudah berada di negara ini untuk 15 tahun, Shah mendakwa dirinya bakal memohon taraf PR mengikut prosedur sah dan bukan menggunakan kabel.
“Peluang untuk dapat taraf PR agak cerah, ditambah pula saya sudah berada di Malaysia selama 15 tahun.
“Selepas 10 tahun, tanpa menggunakan sebarang orang dalam atau ‘kabel’, saya boleh mohon taraf PR mengikut prosedur yang sah,” ujarnya.