Pelan Pemulihan Negara yang dibentang Tan Sri Mahiaddin Md Yassin hanyalah satu pelan retorik untuk menutup kegagalan kerajaan dalam mengawal pandemik ini.
Pemuda Pakatan Harapan (PH) berkata, pelan ini secara tidak langsung telah membayangi Pelan Pemulihan Ekonomi 6R yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan pada pembentangan Belanjawan 2021 yang lalu.
“Adakah Pelan Pemulihan Negara hanyalah sebagai satu ‘pelan kecemasan’ untuk menutup kegagalan Pelan Pemulihan Ekonomi yang lalu?
“Sudah sampai masanya untuk kerajaan memohon maaf dan berundur secara ‘terhormat’. Kembalikan semula kepimpinan yang mampu menerajui negara keluar daripada wabak pandemik Covid-19 serta masalah kemunduran ekonomi yang telah menghantui negara sejak setahun yang lalu,”katanya.
Dalam kenyataan bersama Ketua Pemuda AMANAH Nasional Shazni Munir Ithnin, Ketua Pemuda DAP Howard Lee dan Ketua AMK Akmal Nasir berkata, pelan itu juga tidak ubah seperti kitar semula yang tidak merangkumi apa-apa tindakan baru untuk memulihkan negara daripada wabak pandemik Covid-19.
“Pelan itu hanya gah daripada nama, namun tidak mempunyai satu perancangan yang holistik untuk membawa negara keluar daripada masalah pandemik ini. Banyak kepincangan dalam pelan yang dirangka oleh kerajaan.
“Pembahagian PKP kepada empat fasa hanyalah satu “rebranding” terhadap pelaksanaan PKP yang dilaksanakan sejak setahun yang lalu.
“Tiada langsung satu nilai tambah terhadap pelaksanaan PKP secara berfasa ini. SOP yang tidak jelas masih lagi menghantui rakyat,” katanya.
Sementara itu, menurutnya pelbagai pengecualian diberikan kepada sektor ekonomi tidak memberi natijah yang baik terhadap pengawalan wabak Covid-19.
Kata beliau pelan ini juga nampaknya hanya memberi fokus kepada sektor ekonomi sahaja dan langsung tidak menyentuh kepada sektor pendidikan dan juga sektor lain yang terkesan teruk akibat impak pandemik.
“Sebagai contoh, kerajaan akan membenarkan 80% kapasiti pekerja kepada sektor ekonomi pada Fasa Kedua. Walhal sektor ekonomilah menjadi penyumbang terbesar kepada kenaikan angka kes harian.
“Isu kebajikan rakyat dan bagaimana cara untuk meringankan beban rakyat langsung tidak diberi perhatian.
“Tiada sebarang inisiatif ataupun bantuan tambahan disentuh oleh kerajaan dalam pelan itu,” katanya.
Perancangan kerajaan terhadap program vaksinasi katanya juga tidak disebut dengan jelas dalam Pelan Pemulihan Negara ini.
Ini bermakna, katanya rakyat dijangka akan terus merana sehingga penghujung tahun 2021 berdasarkan syarat nilai ambang yang diletakkan oleh pihak kerajaan.
“YAB Perdana Menteri berulang-ulang kali menyatakan kerisauannya terhadap impak pandemik dan juga pelaksanaan “Lockdown” terhadap ekonomi negara tanpa langsung menyatakan simpati dan juga kerisauan beliau terhadap kadar kematian yang kian meningkat sejak kebelakangan ini.
“Apakah nyawa rakyat sudah lagi tidak ada nilai pada mata penilaian YAB Perdana Menteri? Secara keseluruhan, kami dapati bahawa pelan ini merupakan satu tindakan melulu untuk membuktikan ‘keprihatinan’ kerajaan,” katanya lagi.