Hangat diperkatakan di platform media sosial baru-baru ini tentang tindakan seorang pempengaruh menjual kek coklat dengan harga RM39 yang disifatkan orang ramai sebagai tidak masuk akal.
Pempengaruh terbabit kemudian mengambil keputusan untuk menurunkan harga pencuci mulut yang diberikan nama ‘Kek Hitam Premium’ itu kepada RM29 berikutan menerima kecaman termasuk dari pengikutnya.
Malah pelanggan juga diberikan ‘hadiah percuma’ berupa sampul raya dengan setiap pembelian manakala kotak istimewa bersama tiga rekaan sampul raya dan pelekat pula diberikan kepada pembeli dua bekas kek coklat.
Isu ini bagaimanapun memasuki episod baharu apabila salah seorang pelanggan yang sempat membeli keluaran produk pertamanya berharga RM39 itu tampil memberikan ulasan sebaik pesanannya sampai.
Menurut wanita itu, sememangnya tidak dinafikan proses penghantaran kek tersebut dilakukan dengan cepat sekali namun sayangnya pencuci mulut berkenaan sudah mula berkulat sebaik sampai di rumah.
“Proses penghantaran memang laju. Selepas sahaja saya membuat pesanan, mereka terus hantar. Namun begitu, walaupun sudah dihantar awal tetapi sudah ada kesan putih dipercayai kulat di permukaan kek.
“Sebenarnya saya ada beli kek sama namun jenama lain dengan harga RM12. Saya beli lebih awal tetapi tidak berkulat lagi. Saya kecewa. Agaknya bila dia buat kek ini?
“Saya sudah buang kulat yang ada. Harapnya tidak mengalami sakit perutlah apabila makan,” kata pelanggan yang tetap menjamah pencuci mulut berkenaan selepas mengorek kesan kulat di permukaannya.
Ulasan berbentuk video berdurasi dua minit 17 saat berkenaan dikongsikan oleh wanita terbabit menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya, baru-baru ini.
Dalam perkongsian tersebut, wanita itu mengakui bahawa rasa kek berkenaan tidaklah jauh berbeza dengan pencuci mulut lain yang dijual di pasaran selain tidak berbaloi untuk dibeli.
“Coklat ‘ganache’ itu menutup rasa kek yang biasa. Jadi yang premium adalah coklat ganache, bukanlah keknya. Rasa ganache itu tidak terlalu manis dan tak muak.
“Tetapi untuk harga RM39 itu, bagi saya tetap mahal. Pada pendapat saya, tidak berbaloi (untuk dibeli).” Ujarnya dalam perkongsian yang kini sudah meraih sebanyak 3.2 juta tontonan itu.
Baca juga: Pempengaruh turunkan harga kek coklat dari RM39 ke RM29, netizen tetap nak boikot?