Beberapa pelanggan membuat aduan mendakwa pengusaha gerai dan restoran ketika ini menaikkan harga makanan pada kadar 10 hingga 40 peratus lebih mahal.
Menurut Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid, kenaikan itu berpunca daripada bekalan bahan mentah yang mahal yang dikenakan daripada pihak pembekal.
Ini berpandukan alasan utama pengusaha makanan dan minuman bahawa mereka terpaksa menaikkan harga kerana harga banyak bahan mentah seperti minyak masak, gula, sayur-sayuran, ikan dan bijirin, telur serta daging yang mereka beli daripada pembekal telah dinaikkan.
Beliau memaklumkan bahawa tinjauan harga purata makanan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut menunjukkan peningkatan harga makanan yang membimbangkan pengguna.
“Nampaknya dalam subkumpulan makanan dan minuman (bukan alkohol) harga daging dan ayam meningkat.
“Akibatnya inflasi ayam dan daging tertinggi berbanding dengan barangan lain telah meningkatkan harga makanan masak di kedai makan, termasuk di gerai,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pada masa sama kata Mohd Azmi, pengguna merasakan kenaikan terlalu tinggi itu menyebabkan jumlah pengunjung restoran yang menjadi pelanggan harian turut terjejas.
Walaupun harga bahan mentah naik, harga makanan masak dan minuman tidak harus dinaikkan tanpa kawalan, kata Mohd Azmi.
Mohd Azmi yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara berkata, harga makanan masak dan minuman (bukan alkohol) didapati semakin tinggi.
Sepinggan nasi berlauk kini meningkat dan sangat dirasai oleh pengguna.
“Hampir semua restoran kini meningkatkan harga, malah ada yang mengenakan caj hingga 60 sen segelas ais kosong.
“Kenaikan harga makanan siap masak di kedai atau restoran sedang dirasai oleh pengguna yang bergantung kepada kedai sebagai pilihan utama setiap hari untuk makan.
“Mereka yang bekerja dan makan di luar setiap hari menghadapi kesan yang sangat berat, terutama golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Beliau juga berkata, golongan berpendapatan rendah tidak punya pilihan, melainkan membeli makanan akan menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin berat.
“Menaikkan harga makanan masak secara berlebihan akhirnya akan menjejaskan peniaga sendiri apabila pengguna membuat pilihan.
“Pengguna boleh mengguna kuasa mereka untuk membeli atau tidak. Kerana itu kenaikan yang melampau perlu dikawal. Pihak berkuasa perlu memantau keadaan di pasaran,” katanya lagi.
Baca juga: Ini baru definisi kaya sebenar, tujuh mangkuk cendol durian cecah RM279.30