Pelanggan terkedu kedai viral ‘dikutip’ penguat kuasa, syukur sempat dapat pesanan

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu rakaman memaparkan pihak penguat kuasa yang sedang menyita kerusi dan meja di sebuah gerai tepi jalan telah berjaya mencuri perhatian ramai, baru-baru ini.

Rupa-rupanya, gerai disita penguat kuasa itu dimiliki oleh peniaga mi segera Indomie di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur yang tular belakangan ini di media sosial.

Gerai tersebut dikatakan mula meraih populariti dalam kalangan pengunjung taman rekreasi berkenaan terutamanya pada waktu malam semenjak bulan April yang lalu.

Bagaimanapun, gerai tersebut telah disita penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada hujung minggu lalu seperti rakaman dikongsikan oleh pengguna TikTok.

“Alhamdulillah, sempat merasa Indomie tular di Tasik Titiwangsa,” tulis keterangan di dalam video oleh pemilik rakaman dikenali sebagai Aizat Azmie itu dengan ringkas.

Berdasarkan kapsyen yang ditulis dalam hantaran itu, Aizat dipercayai merupakan pelanggan terakhir sebelum gerai tular tersebut disita oleh pihak penguat kuasa DBKL.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna TikTok bersetuju dengan tindakan penguat kuasa menyita gerai yang menyebabkan laluan di taman rekreasi itu sesak.

Gerai tepi jalan tersebut juga dipercayai disita kerana penjual warganegara asing itu meniaga tanpa lesen selain mengganggu laluan pengunjung yang mahu beriadah.

“Saya ingat berlaku kemalangan. Rupanya DBKL buat kerja. Mungkin dapat aduan. Jalan dekat situ sesak, nak parkir kenderaan juga susah. Itulah salah satu sebab (disita),” kata salah seorang pengguna yang juga pengunjung tasik berkenaan.

“Janganlah komen konon DBKL buat salah. Mereka cuma jalankan tugas dan arahan. Kutip salah, tak kutip cakap tak buat kerja pula.” Kongsi pengguna lain yang menegur individu menyalahkan penguat kuasa ekoran menyangka gerai itu dimiliki peniaga Melayu.

Beberapa individu turut berkongsi rasa kecewa kerana tidak sempat merasa Indomie tular tersebut sebelum pemilik video menjawab penjual tetap meniaga ekoran sudah ‘biasa’ diserbu.

Baca juga: ‘Teh susu lele’, wanita kongsi resipi teh susu campur ikan keli mentah buat ramai kembang tekak