Pelanggan terkejut dapat lauk ‘extra’ dalam ayam masak kicap, 2 ekor lipas buat loya tekak!

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pelanggan sangat terkejut apabila menemui dua ekor lipas di dalam lauk ayam masak kicap yang dibelinya bersama nasi putih dipercayai di sebuah bazar Ramadan di Kuala Terenganu.

Menurut wanita itu, kehadiran dua ekor lipas berkenaan pada mulanya langsung tidak disedari memandangkan kandungan kuahnya terlalu banyak selain warnanya yang hitam menyerupai serangga tersebut.

Sebarang bau busuk yang datang daripada lipas tersebut juga langsung tidak dapat dihidu oleh wanita berkenaan mungkin kerana sudah tertutup dengan aroma lauk ayam masak kicap itu.

Wanita itu bagaimanapun lega kerana sempat menemui lipas tersebut sebelum memasukkan nasi bersama ‘lauk tambahan’ yang disifatkannya sebagai protein tersebut ke dalam mulutnya.

Jika tidak, pelanggan terbabit secara berseloroh berkata bahawa dirinya mungkin sahaja mendapat tenaga yang terlebih banyak sekiranya kedua-dua ekor lipas tersebut dihadamnya.

Penemuan meloyakan tekak namun mencuri tumpuan ramai itu dikongsikan oleh wanita terbabit menerusi satu hantaran video berdurasi tujuh saat yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya.

@n.nadiaaaaaaaaa

barangkali lipas tu tengah menari tapi tersilap terjun kuali 😭😭😭

♬ suara asli – il Man – il Man

“Beli ayam masak kicap tetapi ada lauk ‘extra’ (tambahan) iaitu (dua ekor) lipas yang sehidup semati. Barangkali lipas itu tengah menari berdua tetapi terterjun di dalam kuali,” seloroh wanita itu dalam perkongsian tersebut.

Pelanggan itu turut memaklumkan bahawa bungkusan nasi putih bersama lauk ayam masak kicap tersebut dibeli di sekitar kawasan Padang Nenas yang terletak di Kuala Terengganu.

Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna turut merasa jijik ketika menonton video tersebut dan memberikan cadangan supaya pelanggan terbabit membuat laporan kepada pihak berwajib.

Ramai juga pengguna tampil berkongsikan pengalaman peribadi mereka sendiri ketika menemukan benda asing atau binatang termasuklah lipas di dalam makanan yang dibeli di luar.

“Tolonglah ya, aku sudah trauma dengan lipas ini. Pernah minum air ‘chocolate chip’ dari sebuah kedai serbaneka. Sedut punya sedut, ada benda tersekat dekat straw. Rupa-rupanya lipas,” kata seorang pengguna.

“Kalau berada di situasi yang sama, aku mungkinlah akan trauma untuk makan lauk itu. Pernah terjadi ketika aku makan nasi goreng kambing basi. Selepas itu, muntah. Dua tahun juga nak hilang trauma.” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: ‘Pertama kali tengok air tak rasa haus’, netizen geli hati lihat lelaki buat air tomyam soda