Pelantikan Ahmad Bashah ibarat pendidikan kurang penting

Oleh MALAYSIADATELINE

Perlantikan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai Menteri Besar Kedah meskipun tidak berpelajaran tinggi bercanggah dengan peri penting pendidikan yang ditekankan kerajaan, tegas tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin.

Menggambarkan perlantikan itu seolah kesilapan yang besar, bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press itu berpandangan UMNO kini secara tidak langsung memberi isyarat bahawa tahap pendidikan bukan ciri-ciri yang diperlukan untuk menjadi seorang pemimpin Melayu.

“Takkan dari berpuluh-puluh ribu orang lulusan universiti yang keluar setiap tahun, tidak ada seorang yang boleh masuk Umno, kemudian 10, 20, 30 tahun kemudian menjadi Menteri Besar?” ujarnya seperti dipetik dalam wawancara eksklusif bersama FMT.

“Kalau macam itu, lebih baik kita tutup sahaja universiti, dan kita syaratkan semua ahli politik tidak boleh lulus universiti.”

Beliau berkata Umno sepatutnya melantik pemimpin dari kalangan mereka yang berilmu, berakhlak, berperasaan tinggi dan berhemah tinggi.

“Semua (ciri-ciri) ini adalah hasil berpaksikan kepada ilmu. Sebab itulah kita bersusah payah membina berpuluh-puluh buah universiti di Malaysia ini.

Kadir bersetuju dengan persepsi bahawa corak tindakan Datuk Seri Najib Razak memilih pemimpin sedemikian adalah bersandarkan keperluan politik, kerana mereka mudah dikawal dan dijadikan pak turut.

“Ya, itu adalah cerminan kepada dasar, iaitu tindak-tanduk UMNO, kerajaan, Perdana Menteri, Kabinet, Majlis Tertinggi Umno, bukan lagi berpaksikan kepada kepentingan umum.

“Kepentingan negara itu sekadar diwar-warkan untuk menghalalkan matlamat sebenar iaitu survival atau kelangsungan. Sama ada kelangsungan Umno, Barisan Nasional atau Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Itu sahaja,” kata beliau.