Pelantikan Datuk Hakimah Mohd Yusoff sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang baharu menghapuskan pandangan berat sebelah terhadap kepimpinan wanita.
Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (AWAN) Negeri Kelantan berbangga atas kejayaan beliau mencatat sejarah sebagai wanita pertama dilantik ke jawatan berkenaan.
Ketua Awan Kelantan Dr Hafidzah Mustakim berkata pelantikan ini membuktikan bahawa wanita berkemampuan berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah bersama lelaki dalam soal kepimpinan.

Ktanya, kepimpinan Hakimah Mohd Yusoff mengepalai institusi penting pentadbiran Dan kemajuan Islam diharapkan dapat meningkatkan perkhidmatan jabatan dalam membangunkan rakyat termasuk wanita dan keluarga di negara ini.
“Ini merangkumi penambahbaikan perlaksanaan undang-undang dan mahkamah syariah dalam membela dan memberi keadilan kepada wanita dan anak-anak mereka dalam urusan perkahwinan dan kekeluargaan.
“Sesungguhnya kejayaan Datuk Hakimah merupakan sumber inspirasi buat semua wanita Malaysia bahawa wanita merupakan penyumbang aktif dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang adil, beramanah lagi rahmah buat semua,” katanya.
Terdahulu, Naib Presiden AMANAH yang juga bekas Menteri Agama Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa menyifatkan pelantikan ini menjadikan sejarah kepada Jakim apabila buat pertama kali diterajui oleh wanita sekaligus meningkatkan pembabitan wanita sebagai pembuat keputusan dalam perkhidmatan awam.
“Semoga dengan pelantikan ini dapat memacu Jakim ke arah memperkasa peranannya sebagai agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan yang kompetitif serta berdaya saing di peringkat global,” katanya.