Di sebalik kesibukan kehidupan kota, ada insan-insan yang senyap melakukan kebaikan tanpa mahu dipuji.
Seorang pelanggan tetap sebuah kedai makan di ibu kota menjadi perhatian kerana rutin uniknya membeli 20 hingga 30 ketul ayam goreng setiap hari.
Namun, apa yang membuatkan ramai terkejut adalah tujuan sebenar ayam goreng itu dibeli.
“Pelanggan ni beli 20 hingga 30 ketul ayam goreng setiap hari.
“Mula dulu hairan jugak kenapa beliau tak masukkan ayam dalam plastik bungkus lauk, tapi terus masukkan dalam plastik beg,” kata Azrul Shah Mohd Isa, pekerja di kedai tersebut yang memuat naik perkongsian ini di Facebook.
Rupa-rupanya kata Azrul, ayam goreng yang dibeli itu bukan untuk dimakan sendiri, tetapi untuk diberikan kepada kucing-kucing jalanan yang berada di sekitar kawasan TTDI dan Sungai Penchala.
“Sebenarnya ada banyak lagi cerita dari pelanggan-pelanggan yang bersifat mulia seperti ini,” tambah Azrul.
Tindakan kecil ini mencerminkan sikap pemurah pelanggan tersebut, yang sanggup memperuntukkan sebahagian rezekinya untuk membantu makhluk-makhluk yang kurang bernasib baik.
“Semoga Allah permudah dan perbanyakkan rezeki untuk orang-orang pemurah seperti pelanggan ini,” titip Azrul.
Baca juga: “Ayah suka tinggal mak bila datang rumah aku, risau pula biarkan dia berdua dengan isteri”