Penyanyi, Baby Shima berharap orang ramai lebih berhati-hati dalam menggunakan platform media sosial dan tidak sewenang-wenangnya menulis sebarang komen berunsur hinaan atau fitnah.
Hal ini berikutan perbuatan sedemikian merupakan satu bentuk kesalahan yang sudah termaktub dalam undang-undang malah pelakunya juga boleh menerima hukuman sekiranya terbukti bersalah.
Perkara tersebut dimaklumkan pemilik nama sebenar Nor Ashima Ramli itu menerusi satu hantaran dikongsikan di platform Instagram bersama tangkap layar laporan media mengenai kes ugutan bunuh terhadap dirinya.
“Jangan taksub sangat kepada seseorang. Jangan percaya kepada fitnah dan batu api. Hati-hati dengan jari menaip. Mereka yang menghina, memburukkan dan memfitnah ada aktanya di dalam undang-undang,” kata Baby Shima dalam hantaran itu.
Terdahulu, pemandu lori yang membuat komen berbaur ugutan bunuh terhadap Baby Shima didenda sebanyak RM4,000 selepas membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Majistret Sibu, sebentar tadi.
Hukuman tersebut dijatuhkan selepas tertuduh berusia 35 tahun terbabit mengaku bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya itu dikemukakan di hadapan Majistret, Oon Kork Chern.
Kork Chern juga mengarahkan tertuduh, Mel Maxpherson Munded untuk menjalani hukuman penjara selama dua bulan sekiranya gagal menjelaskan denda yang dikenakan terhadapnya itu.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pemandu lori itu didakwa telah melontarkan komen yang berbaur ugutan dan juga mengancam keselamatan Baby Shima di platform Facebook.
Atas tindakan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali sekiranya disabitkan kesalahan.
Mengikut fakta kes, pelantun suara lagu Pura-Pura Bujang itu terbaca satu komen pada 30 Disember lalu, sekitar jam 11 malam dengan ayat ‘Lagi U masuk Sarawak!!. Hati-hati, your enemy MU (aim you) sudah. Jangan pulang Melaya dengan mayat saja!! Take care Baby Shima’.
Polis menerima laporan berhubung kejadian itu selepas penyanyi terbabit tampil ke Balai Polis Sibu pada tengah malam Isnin lalu dengan ditemani Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Bertindak di atas laporan itu, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 35 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori di Kota Sentosa, Kuching, Sarawak pada pukul 9.15 malam, Selasa lalu.
Baca juga: Disyaki ugut bunuh Baby Shima, polis rampas telefon pintar dan tahan pemandu lori