Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M) memberitahu, pemandu teksi akan membuat bantahan lebih besar termasuk menutup jalan raya jika tuntutan mereka agar Uber dan Grabcar diharamkan tidak diendahkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M) Kamarudin Mohd Hussain berkata, mereka akan membuat perhimpunan yang lebih besar lagi dari semalam.
“Tolong bantu kami bukan hukum kami. Kami di pihak yang benar, sedangkan SPAD yang menjadi masalah kami dan SPAD telah mengingkari arahan kerajaan agar menjamin kebajikan dan ekonomi kami.
“Mungkin layak saya katakana SPAD sedang mensabotaj kepimpinan Perdana Menteri,” kata Kamarudin kepada Malaysia Dateline mengulas mengenai ancaman perkhidmatan teksi panggilan secara online Uber dan Grabcar kepada mereka.
Menurutnya, walaupun beberapa pihak cuba menghalang perhimpunan pemandu teksi membantah Grabcar dan Uber itu, ia telah berjaya mengumpulkan lebih 2,000 pemandui teksi.
Protes mendesak Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar agar segera mengharamkan perkhidmatan teksi Uber dan GrabCar yang menjejaskan pendapatan pemandu teksi terbukti berjaya.
“Saya percaya beliau (Syed Hamid) mengambil kesempatan di atas nasihat yang diberikan oleh OCPD Dang Wangi kepada JKBPTLK (Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang) agar tidak membuat perhimpunan aman di dalam kawasan pusat bandar bagi menjaga keharmonian negara dan tidak memberi tekanan keselamatan kepada Persidangan Asean yang baru bermula di negara kita,” ujar Kamarudin.
Tanpa menggunakan kuasa wang, katanya, sambutan pemandu teksi serta wakil dari 27 persatuan teksi seluruh Semenanjung termasuk dari Ipoh dan Johor pada petang semalam, jauh lebih menggalakkan berbanding program anjuran SPAD sebelum ini.
“Sekalipun SPAD merasuah pemandu teksi dengan Kad TouchNGo bernilai RM10, baju, makan dan pelepasan sewa teksi sehari, namun sasaran 2,000 pemandu teksi gagal dicapai,” tegasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline pagi tadi.
Sementara itu, Syed Hamid dalam reaksinya terhadap himpunan berkenaan mendakwa aksi pemandu teksi itu hanya sebahagian kelompok kecil pihak yang tidak berpuas hati dengan apa dianggapnya sebagai pembaharuan yang dibawanya kepada industri teksi negara.