Seorang pemandu Uber menjadi bualan di Reddit selepas menjadikan kereta itu sebagai kedai serbaneka bergerak sekali gus memberi pengalaman istimewa kepada penumpang yang menaikinya.
Pemandu Uber di India itu memenuhkan ruang tempat duduk penumpang dengan pelbagai jenis barangan termasuk makanan ringan, gula-gula, air botol, payung, cecair pembasmi kuman, tisu, selain WiFi.
Apa yang menarik, kesemua barangan itu diberikan secara percuma kepada penumpangnya.
Memetik AFP, kenderaan itu turut dilengkapi pelbagai ubat dan barangan penjagaan diri seperti minyak wangi dan ubat gigi.
Perkongsian di Reddit yang tular menunjukkan kemewahan kenderaan itu yang membuatkan warganet berasa kagum dengan menyifatkannya sebagai peluang merasai pengalaman ruang istirahat mewah berbanding menaiki teksi biasa.
Ramai yang menyatakan hasrat untuk menempah kenderaan itu secara eksklusif, malah menawarkan untuk membayar harga premium bagi merasai keistimewaan layanannya yang unik.
“Namakan dan popularkan pemandu itu. Dia berhak mendapat pengiktirafan untuk itu,” tulis seorang warganet.
“Saya pernah menaiki kenderaannya. Namanya Abdul, dan dia seorang lelaki yang hebat. Dia juga sudah dipaparkan dalam beberapa video,” tulis seorang lagi warganet.
Namanya Abdul Qadir. Akhbar sudah menerbitkan cerita tentangnya, pemandu Uber yang tidak pernah membatalkan penumpangnya,” tulis seorang warganet.
Baca juga: Aiman Tino tinggalkan nafkah sebelum keluar memancing, isteri terharu baca nota suami