Tokoh media, Datuk A Kadir Jasin menyifatkan kaedah untuk menyelesaikan isu buli sebenarnya mudah sahaja.
“Caranya mudah. Pembuli dibuang sekolah. Mangsa digantung kalau tak mengadu. Pengetua ditukar atau tahan kenaikan pangkat,” kata Kadir.
Bekas Penasihat Media Perdana Menteri itu berkata demikian ketika mengulas tindakan sekumpulan pelajar membuli rakannya di sebuah sekolah di Perak.
Polis menahan empat pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, hari ini berkaitan kes buli secara kekerasan seperti rakaman video tular di media sosial.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata semua pelajar berusia 13 tahun itu ditahan selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Kangsar antara jam 6 petang hingga 7 malam.
“Kita menahan empat pelajar untuk siasatan lanjut,” katanya kepada Berita Harian.
Sebelum ini, beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.