Pembulian terhadap doktor pelatih harus dibuat penilaian tidak sekadar fokus kepada kematian semata-mata, demikian menurut Ketua Pembangkang DUN Melaka Adly Zahari.
Naib Presiden AMANAH itu juga berkata, ini kerana adanya rungutan keluarga serta doktor-doktor pelatih yang melibatkan beban tugas dan “pembulian”.
Beliau berkata demikian merujua insiden seorang doktor pelatih yang ditempatkan di Hospital Pulau Pinang, awal bulan lalu dipercayai terjatuh dari bangunan dan meninggal dunia pada 17 April lalu.
Pegawai Perubatan Siswazah terbabit telah melaporkan diri di negeri itu pada 4 April lalu.

Laporan Berita Harian turut memaparkan ‘penderaan mental’ yang didakwa terpaksa ditempuhi ramai doktor pelatih di sesetengah hospital awam negara ini.
Antara penderaan mental yang terpaksa mereka hadapi ialah dimaki, dihina dan dihalau di depan pesakit.
Ada juga doktor pelatih yang mengadu menerima gangguan mental, fizikal dan seksual daripada pegawai perubatan serta doktor pakar ketika bertugas dan menjalani latihan sebagai ‘houseman’ selama dua tahun.
Jurucakap Gerakan Hartal Kontrak yang juga seorang doktor mendakwa, perbuatan buli di hospital awam bukanlah perkara baharu, malah kerap menjadi perbualan dalam kalangan doktor kontrak dan doktor pelatih.
Dakwanya, perbuatan berkenaan sudah lama berlaku dan menyifatkan situasi kini sudah membarah sehingga sukar untuk diperbetul.
Adly juga berkata, statistik menunjukkan hampir 20% doktor pelatih gagal dalam menamatkan latihan 24 bulan di hospital awam.
“Di samping itu pendidikan dalam bidang kedoktoran juga harus turut dinilai supaya mereka yang benar-benar mempunyai merit diberi peluang untung menyambung pengajian dibidang berkenaan,” kata beliau.