Parti Amanah Negara (Amanah) khuatir pemikiran Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) meresap ke dalam semua gerakan Islam di dunia termasuk PAS.
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub menjelaskan, kenyataan presidennya Mohamad Sabu bahawa PAS diresapi pemikiran Isis bertujuan meminta semua pihak berwaspada dengan pemikiran ini yang boleh merosakkan sesebuah gerakan Islam.
“Presiden Amanah sebut budaya dan pemikiran Isis yang mesti kita waspada yang sedang melanda hampir semua gerakan Islam termasuk di Malaysia, bukan menuduh PAS secara nyata,” katanya pada sidang media di Wisma Amanah, dekat sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, PAS berjaya menangani budaya ‘takfiri’ iaitu mengkafirkan orang lain, menghukum dan menghalalkan tindakan terhadap orang yang dianggap pengkhianat agama selepas wujudnya kepimpinan ulama dalam parti itu pada tahun 1980-an.
Namun katanya, budaya ini seolah-olah cuba diwujudkan kembali dan perlu diberikan perhatian.
“Ini budaya yang PAS berjaya di tangani dulu bila naiknya kepimpinan ulama dalam parti.
“Pimpinan ulama berhadapan dengan masyarakat dan membawa mesej ‘kami pendakwah bukan hakim’.
“Ini menyebabkan ahli PAS terselamat daripada budaya takfiri yang boleh membawa kepada keganasan.
“Sekarang kita nak pastikan perkara ini tidak timbul balik kerana banyak propaganda yang membawa pemikiran begini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.