‘Angry Young Man’ meresapi dalam fikiran generasi muda

Oleh MALAYSIADATELINE

 

Ketika John Osborne menghasilkan drama teater beliau bertajuk ‘Look Back in Anger’ pada tahun 1956, pegawai media Royal Court Theatre telah menggunakan terma ‘Angry Young Men’ untuk mempromosikan pementasan tersebut.

Sepertimana penulisan dan juga skrip-skrip pementasan teater yang beliau tulis, Osborne sering memaparkan ceritera golongan pekerja (working-class) yang tidak berpuas hati dengan sistem politik British pasca Perang Dunia Kedua.

John OsborneWalaupun istilah ‘Angry Young Men’ itu pertama kalinya dicetuskan oleh Leslie Paul, pengarah pertubuhan pendidikan anak-anak dan orang muda ‘Woodcraft Folk’ di dalam autobiografinya, namun nama John Osborne lebih sinonim dengan ungkapan tersebut.

Pementasan yang sebenarnya merupakan pengisahan semula sikap marah Osborne terhadap bininya yang curang dan materialistik itu hanyalah sebahagian dari barisan karya-karya protes gerakan penggiat sastera British ‘Angry Young Men’ yang membawa konsep realisme di dalam pementasan teater British pada tahun-tahun 50’an dan 60’an. Osborne sendiri dinobatkan sebagai di antara pencetus gerakan berkenaan.

Di dalam pementasan tersebut, Osborne telah mengutarakan kegelisahan dan kepayahan golongan muda sepertinya yang hidup di England pasca Perang Dunia Kedua, ataupun di tahun-tahun 50’an.

Walaupun latar belakang pementasan tersebut bertumpu di bandar Derby, namun itu merupakan cerminan terhadap keadaan di kebanyakan tempat di UK pada waktu itu. Keluhan-ataupun kritikan Osborne terhadap kerajaan British disuarakan melalui protoganis teater tersebut yang diberi nama Jimmy. Jimmy menyuarakan suara hati golongan kelas rendah dan pekerja yang dihimpit kepayahan akibat suasana politik British pada tahun-tahun tersebut.

Melalui karya gerakan Angry Young Men, mereka mensasarkan kritikan terhadap semua pihak terutamanya kepada tradisi ortodoks masyarakat British pasca Perang Dunia Kedua.
Pendekatan, gerakan ini membuat kritikan terhadap kerajaan yang disifatkan oleh mereka sebagai gagal berfungsi untuk membantu rakyat. Kebanyakan karya yang dihasilkan adalah berbentuk kemarahan, protes dan kritikan sinis.

Sesetengah pengkritik gerakan ini menyifatkan pendekatan gerakan ini, terutamanya kritikan Osborne sebagai tidak matang dan terlalu gopoh.

Walau bagaimanapun, kritikan sarkastik Osborne adalah sentiasa konsisten dan menyasarkan kepada golongan haluan kiri British (British Left) yang dominan pada waktu tersebut di bumi UK.

Beliau juga mengecam sikap kerajaan British yang menyertai perlumbaan pemilikan dan pengeluaran senjata pada tahun-tahun berkenaan. Bagi Osborne UK di zamannya merupakan produk yang gagal dan menghancurkan.

Menariknya, apa yang berlaku kepada generasi ‘Angry Young Men’ di UK pada tahun 50-an dan 60-an kini melanda Malaysia. Keadaan ekonomi yang tidak keruan dan sering disorokkan realitinya telah menjadikan golongan pekerja dan golongan bawahan resah kerana bebanan kos sara hidup yang tinggi.

Sama ada golongan miskin kota, golongan buruh, malah golongan petani dan usahawan kecil di desa sekalipun merasakan tempiasnya. Ironisnya, kehidupan mewah sesetengah pemimpin negara dan keluarga mereka tidak pula mencerminkan kesengsaran rakyat.

Di dalam keadaan ekonomi yang resah pula, keadaan politik di Malaysia juga diibaratkan di dalam loghat utara seperti ‘berchempegha’ (haru biru). Keadaan kerajaan pemerintah yang dipalit dengan seribu satu skandal dan isu, serta perpecahan dalaman mereka tidak cukup kuat untuk digantikan dengan keadaan rumahtangga pihak pembangkang yang juga tidak kurang juga berchempegha.

Menambah buruk lagi juga ialah isu-isu perkauman, isu agama dijadikan bahan dagangan komersil bagi politikus, saudagar-saudagar dan agamawan yang rakuskan kemewahan dunia dan kerusi empuk.

Keadaan mutakhir di dekad kedua milenium Masihi yang baru tidak menjanjikan keadaan yang kondusif buat anak-anak muda. Anak-anak muda Malaysia yang berpelajaran, berfikir kritis, membaca dan berani untuk berbeza menjadi ‘marah’ dan resah gelisah.

Maka, seumpama ‘Angry Young Men’ di tahun-tahun 50-an dan 60-an British, kini anak muda kritis Malaysia juga bangkit dengan versi ‘Angry Young Men’ mereka. Maka lahirlah buku-buku, karya-karya, lagu-lagu dan lain-lain lagi cetuhan hati anak-anak muda yang resah, gelisah dan marah kepada rejim berkuasa, ahli politik dan juga golongan agamawan yang sibuk mencari laba.

Kebangkitan buku-buku versi Indie adalah manifestasi sikap marah ini. Malah jika dilihat di media-media sosial, samada di FB, Twiter, Instagram dan lain-lain lagi, jelas nampak kemarahan anak-anak muda ini.

Kemarahan anak-anak muda ini berasas. Keadaaan sosio-ekonomi rakyat, terutamanya di kalangan warga miskin kota, warga kampung dan graduan-graduan muda agak ketara.

Jurang pembangunan di antara Semenanjung dan Borneo, sistem pendidikan yang gagal melahirkan warga berfikiran kritis, proses pembulian pemikiran dengan budaya politik wang dan agenda pembebalan berterusan isu GST, isu 1MDB, isu ketirisan yang dilaporkan setiap tahun oleh Jabatan Audit Negara, dan bermacam-macam lagi isu.

Hanya golongan muda, berfikir, kritis dan juga sedar dapat melihatnya. Mereka marah, tetapi tidak menemukan solus maka mereka menumpahkannya di dalam media sosial, karya-karya seni, literasi-literasi dan lain-lain lagi. Malangnya,hasil rekaan mereka itupun diganggu gugat dan difitnah dengan pelbagai perlabelan liar.

Kerisauan terhadap kemarahan anak-anak muda ini ialah jikalau mereka terjemahkan kepada ketidak percayaan mereka kepada sistem yang ada. Kerisauan juga ialah apabila mereka mula beriktikad bahawa tiada harapan di masa depan maka mereka bersikap tidak peduli. Lebih risau jika mereka melihat bahawa jalan perubahan hanyalah dengan mengangkat senjata. Maka suburlah pemikiran radikal dan keganasan ala al-Qaedah ataupun ISIS.

Bertitik tolak dari sini, sesuatu perlu dilakukan oleh semua pihak yang sedar untuk mengalirkan kemarahan anak-anak muda kepada aktivisme yang lebih menguntungkan warga.

Ia perlu diterjemahkan kepada peningkatan usaha kesukarelawanan, usaha penglibatan di dalam tata kelola melalui gerakan masyarakat sivil, pembangunan mandiri masyarakat melalui pembangunan modal sosial (social capital) dan juga penyuburan budaya balik ke kampung dan pendalaman untuk membangunkan prasarana.

Banyak contoh gerakan-gerakan seperti ini yang telah berjaya membawa anak-anak muda untuk menterjemahkan kemarahan mereka mutakhir ini di Malaysia. Buku jalanan, TFTN, wakaf buku, Teach for Malaysia, dan bermacam lagi.

Persoalannya, solusi ini memang akan terus berlaku, tetapi lanskap perubahan yang lebih komprehensif untuk merubah sistem juga harus berlaku. Maka, sudah sampai masanya kemarahan anak muda diarahkan untuk membina ‘Harapan Baru’ yang lebih segar dan malar.