Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar hari ini menggesa calon-calon yang bertanding pada pemilihan parti itu agar berhenti terbabit dalam politik yang tidak sihat dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan liar serta saling mengkritik.
Jayakumar yang mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti bermula 14 September hingga 13 Oktober itu berkata ini termasuk tindakan calon-calon yang kini mula mengeluarkan kenyataan menggunakan nama Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menang jawatan presiden parti tanpa bertanding.
“Akhbar hari ini melaporkan mereka yang sedang berkempen untuk diri sendiri mendakwa Anwar mempunyai (calon) pilihan. Saya fikir ini suatu yang nakal,” kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli itu kepada Bernama pada Jamuan Tengah Hari bersama Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, di Putrajaya. hari ini.
Beliau mendakwa pemimpin akar umbi juga tidak selesa dengan situasi apabila calon saling menghentam dan mengkritik.
Katanya mereka yang mengintai jawatan tinggi dalam parti seharusnya berkempen dengan kekuatan mereka dalam parti.
“Pemilihan parti sepatutnya harmoni. Berhenti main isu personaliti. Saya fikir yang penting ialah apa yang telah anda lakukan dan apa yang boleh anda lakukan untuk parti serta bagaimana anda merancang untuk bekerja dengan Anwar pada masa depan,” katanya.
Mengenai keanggotaan PKR, Jayakumar berkata parti itu menyaksikan peningkatan keanggotaan kepada hampir 900,000 orang berbanding 600,000 selepas Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum ke-14.
“Mereka yang mendaftar sebelum 26 Jun boleh mengundi namun tidak boleh bertanding,” katanya.