Satu rakaman memaparkan beberapa individu sedang melaungkan azan di penjuru tempat letak kereta di sebuah kilang tular di platform media sosial, baru-baru ini.
Menimbulkan pelbagai persoalan, individu berkenaan rupanya adalah perawat Islam yang ditugaskan oleh pemilik kilang untuk ‘memagar’ tempat letak kereta tersebut.
Difahamkan, lokasi tersebut sering diganggu dengan kehadiran makhlus halus atau lebih tepatnya kelibat nenek tua berambut panjang yang dikatakan selalu berlegar.
Pemilik kilang berbangsa Cina yang bukan beragama Islam itu sudah melakukan pelbagai cara untuk menghilangkan gangguan namun segala usahanya tidak berhasil.
Akhirnya, ‘ritual pembersihan’ dengan khidmat perawat Islam digunakan termasuk melaungkan azan di seluruh penjuru sebagai ikhtiar menghilangkan gangguan tersebut.
Proses pembersihan dan pemagaran yang dilakukan di tempat letak kenderaan tersebut dikongsikan menerusi satu hantaran video di akaun TikTok milik pusat rawatan Islam tersebut.
“Majikan berbangsa Cina memanggil pasukan kami untuk buat pembersihan serta pemagaran di tapak parkir kereta di kilang miliknya. Kawasan itu diganggu dengan kelibat nenek tua berambut panjang.
“Katanya sudah pelbagai cara sudah dilakukan (untuk menghilangkan gangguan) tetapi masih ada,” tulis pengendali akaun TikTok berkenaan di ruangan kapsyen rakaman tersebut.
Menerusi rakaman itu, kelihatan beberapa orang perawat melaungkan azan di setiap penjuru dipercayai bertujuan untuk menghalau makhluk halus dan memagar kawasan tersebut.
Selepas ‘pembersihan’ dilakukan, gangguan di kilang itu dikatakan beransur hilang sehingga pemiliknya berpuas hati dan meminta perawat melakukan pemagaran di beberapa lokasi lain pula.
“Syukur. Selepas pasukan kami selesai, gangguan itu sudah tiada. Majikan Cina itu meminta kami membuat pemagaran lagi di beberapa kilangnya di lokasi yang lain.” Jelas pemilik akaun.
Baca juga: Warganet berdebat lepas pemilik restoran di Kelantan sedih tiada lagi kuih dari Ikhwan Bakery