Pemilik menyesal benarkan penyewa rasmi rumah baru, hancur dalam masa setahun

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pemilik rumah meluahkan rasa kecewa apabila kediaman yang baru dibelinya ‘dimusnahkan’ oleh pihak penyewa hanya dalam tempoh setahun lebih.

Menerusi satu hantaran di akaun X, pemilik menjelaskan bahawa rumah berkenaan belum pernah diduduki oleh sesiapa termasuk ahli keluarganya sebelum disewakan.

Walau bagaimanapun, pemilik memutuskan untuk menamatkan kontrak penyewaan selepas setahun lebih ekoran pihak penyewa culas dalam membuat bayaran sewa.

Lebih mengejutkan, penyewa rumah tersebut juga gagal membayar bil utiliti sehingga menyebabkan tunggakan mencecah RM3,000 membabitkan bekalan elektrik dan air.

“Selepas satu tahun lebih menyewa, tiga bulan terakhir dia tak bayar sewa. Jadi aku hantar notis tamat kontrak. Masa mula-mula nak masuk menyewa dulu, bukan main lembut lidah cakap nak buat itu dan ini. Tetapi cakap tak serupa bikin.

“Duduk berapa orang dekat rumah pun aku tak tahu. Masa tandatangan perjanjian, ada pasangan suami isteri dan dua orang anak sahaja. Tetapi bil elektrik tertunggak sampai RM2,244.10, bil air pula RM593.

“Aku duduk rumah dengan isteri pun bil air selalu tak mencecah lebih RM20 sebulan. Sampai aku cakap dengan isteri penyewa buka kedai mencuci kereta dekat rumah,” kesal pemilik terbabit.

Membangkitkan kemarahan, penyewa tersebut juga tergamak meninggalkan rumah dalam keadaan yang sangat teruk selain mempunyai kerosakan kekal pada dinding.

Pemilik juga merasa sangat kesal apabila rumahnya ‘hancur’ dengan begitu cepat sedangkan kediaman tersebut masih berada di dalam tempoh jaminan pihak pemaju.

“Sebelum masuk lagi sudah nampaklah. Rumah aku baru sahaja siap, masih dalam tempoh jaminan pemaju. Tetapi ditebuknya (dinding tepi pintu masuk). Selepas bebel barulah tampal simen tetapi tak kering. Katanya tak boleh tutup lubang.

“Jahanam rumah aku. Semua tebuk pakai paku. Kalau cantik boleh juga dimaafkan. Tetapi teruk sampai macam ini. Rumah aku duduk sendiri pun fikir dua ke tiga kali nak tebuk.

“Dapur lagilah jahanam. Aku bukan mainlah buat dua singki untuk dapur kering dan basah. Dia pergi cabut satu. Panas betul hati aku. Tak tangkap gambar di kawasan masak sebab dahsyat sangat. Macam rumah kongsi,” tambahnya.

Penyewa juga membuat kerja sambil lewa ketika mengecat berikutan sudah tertera di dalam kontrak agar dinding dikembalikan kepada warna asal sebelum keluar rumah.

Situasi ini bukan sahaja menyebabkan lantai jubin rumah dipenuhi dengan tompokan dan kesan titisan cat yang sukar ditanggalkan, malah palam elektrik juga dicatnya.

“Rumah ini memang asal warna putih. Tetapi dia catkan dengan warna kuning. Betul dalam perjanjian boleh cat rumah tetapi kalau keluar kena ubah kepada warna asal.

“Tandas juga sama. Aku tak faham masalah dia ini. Mungkin memang jenis yang tak sayang barang, tetapi mujurlah aku buat perjanjian dari awal. Alhamdulillah, berjaya halau keluar.

“Penyewa juga bersetuju untuk membayar hutang keseluruhan dalam RM8,000 itu secara ansuran. Sekarang baki hutang yang belum diselesaikan bernilai lebih RM500.” Katanya.

Baca juga: Pelanggan terkejut kedai sekarang berani caj RM7 untuk teh O ais lemon