Pemilik rugi lebih RM33,000, menyesal sewa rumah kepada ‘TikTokers’ warga emas ini

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita warga emas yang mempunyai sejumlah besar pengikut di platform TikTok didakwa merosakkan rumah sewa didiaminya sehingga menyebabkan pemilik perlu menanggung kerugian lebih RM33,000.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh anak kepada pemilik kediaman sewa di sekitar Selangor itu di akaun X miliknya sebagai peringatan terhadap orang ramai terutamanya pengusaha rumah sewaan lain.

Jelasnya, persekitaran rumah tersebut dipenuhi dengan semak samun selepas disewakan kepada pasangan warga emas berkenaan memandangkan mereka mempunyai tabiat mengumpul barangan lama atau ‘hoarder’.

Lebih memburukkan keadaan, penyewa rumah tersebut juga mengakibatkan kerugian yang terpaksa ditanggung pemilik melibatkan tunggakan bil elektrik bernilai RM16,000, meter dan paip rosak (RM2,500) dan sewa bulanan (RM13,000).

“Salam pemilik rumah sewa. Sila berhati-hati dengan bakal penyewa ini. Mereka adalah ‘hoarder’. Perempuan tersebut merupakan pempengaruh yang agak dikenali di platform TikTok.

“Mereka telah merosakkan rumah sewa milik ibu saya di Selangor. Saya sertakan gambar rumah ibu yang rosak dan gambar penyewa syurga ini. Jadi hati-hati ya semua. Jangan ulangi kesilapan kami.

“Sekarang dia menetap di Jalan Teratai, Taman Mega Jaya. Saya meminta maaf kerana lambat tularkan perkara ini. Semoga tuan rumah sekarang berjaga-jaga. Terima kasih. Mohon sebarkan agar orang lain tahu perbuatan penyewa dari neraka ini,” tulisnya.

Pemilik kediaman itu juga dikatakan terpaksa mencuba pelbagai cara bagi mengusir keluarga ‘TikTokers’ terbabit sehinggalah harus meminta bantuan pihak polis dengan alasan khuatir ada kematian di dalam rumah tersebut.

Bagaimanapun dalam hantaran yang sama, pihak pemilik mengakui telah melakukan beberapa kesilapan sebelum memutuskan untuk menyewakan rumah kepada individu terbabit lalu mengakibatkan kerugian.

Perkara ini termasuklah tidak melantik ejen menguruskan rumah sewa, tidak memeriksa keadaan kediaman dan tidak menukarkan penama akaun kepada pihak penyewa supaya mereka bertangggungjawab sepenuhnya ke atas bil elektrik.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pelayar X tidak terkejut dengan pendedahan itu berikutan pernah melihat keadaan rumah ketika warga emas berkenaan melakukan sesi siaran langsung di platform TikTok.

Difahamkan, warga emas itu sudah tinggal di rumah sewa tersebut bersama ahli keluarganya sejak dari tahun 2016 sehinggalah 2024 sebelum pemilik berjaya mengusirnya keluar.

Baca juga: 13 tahun ‘bercerai’, Mamat teruja nak tunai umrah bersama Shuib