Seorang pemimpin bahagian DAP Pahang dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan kerana didakwa mengugut Ketua Polis Daerah (OCPD) Jerantut, Superintenden Mazlan Hassan pada Khamis lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Seri Mohd. Zakaria Ahmad dilapor berkata, lelaki berusia 53 tahun itu ditahan pukul 3 petang semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut selepas dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kes itu.
Bagaimanapun, jelasnya, individu itu dibebaskan selepas kenyataan dia dirakam.
“Selepas diambil keterangan, dia dibebaskan dengan jaminan polis. Telefon bimbitnya turut dirampas,” katanya.
Terdahulu, Mazlan dikatakan membuat laporan polis, Jumaat lalu selepas menerima mesej berbaur ugutan daripada individu tersebut menerusi aplikasi WhatsApp.
Tangkap layar ancaman itu yang tular di media sosial dipetik berkata, “Sesiapa nak lawan PH, akan datang dia pun tak boleh aman.”
Mesej tersebut ekoran tindakan sepasukan pegawai dan anggota polis dari IPD Jerantut menjalankan operasi membanteras penjualan minuman keras tanpa lesen di daerah itu.