Pemimpin dan ahli Pas Kelantan tidak boleh sertai program Amanah

Oleh MALAYSIADATELINE

Pas Kelantan mengeluarkan amaran kepada semua pemimpin dan ahlinya supaya tidak menyertai program yang membabitkan penyertaan Amanah, berikutan masih terdapat majlis tertentu terutama yang dianjurkan PKR turut melibatkan ahli Amanah  kata,  Pesuruhjaya Pas Kelantan Datuk Ahmad Yakob hari ini.

“Keputusan agar tidak terlibat dengan Amanah dalam sebarang majlis telah diputuskan Pas pusat sebelum ini, namun hubungan murni tetap berlaku dengan PKR

“Di Kelantan tidak ada kepentingan PKR bersama Amanah jadi kita minta PKR hendaklah benar-benar memahami suasana dan situasi politik di negeri ini,” katanya kepada pemberita di majlis penyampaian watikah dan angkat sumpah anggota majlis bagi Majlis Perbandaran Kota Baharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Yang Dipertua MPKB-BRI Zamri Ismail.

Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata setakat ini, kepimpinan PKR Kelantan menghormati keputusan Pas Pusat itu malah memberi perakuan untuk bersama Pas dan tidak bersama Amanah.

Beliau menyerahkan keputusan kepada Pas Pusat untuk menentukan tindakan terhadap anggota dan pemimpin Pas yang ingkar dengan amaran tersebut.