Sempena sambutan Hari Pekerja hari ini, rakyat diseru supaya bangkit bersatu memperjuangkan hak dan kepentingan mereka. Ahli Jawatankuasa Amanah, Mazlan Aliman berkata, pemimpin dan pemerintah yang korup lantaran mementingkan diri sehingga mengabaikan kebajikan rakyat perlu dinyahkan.
“Sambutan Hari Pekerja bukan sekadar menghargai jasa serta pengiktirafan golongan pekerja. Lebih penting ialah azam dan tekad untuk melakukan perubahan demi negara yang lebih baik.
“Malangnya, di sebalik tuntutan agar masyarakat pekerja sentiasa meningkatkan keupayaan, kemahiran dan intergriti; pembuat dasar yang terdiri dari ahli politik berkuasa, seringkali dikaitkan dengan amalan salah laku atau korupsi,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan bebanan hutang bernilai RM50 bilion yang dianggap skandal kedua terbesar dunia adalah contoh bagaimana golongan pelaksana dasar menjadi korban apabila di tangkap, didakwa serta ditamatkan perkhidmatan manakala pelakunya terus bermaharajalela.
“Caruman golongan pekerja dalam KWSP, KWAP, Tabung Haji dan lain-lain dipaksa melabur berbilion tetapi akhirnya menanggung kerugian besar. Bertimpa-timpa nasib buruk golongan pekerja,” tegasnya.
Mazlan yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) berkata, kenaikan kos sara hidup, pelaksanaan GST, suasana ekonomi muram dan tidak seimbang dengan skim perkhidmatan yang kononnya diperbaharui menyebabkan masyarakat pekerja menanggung bebanan yang begitu tinggi.
Mengulas peranan CUEPACS dan MTUC yang memayungi sektor awam dan swasta, ujarnya, kedudukan kedua-dua institusi yang membela pekerja itu semakin penting disamping kesatuan sekerja yang lain.
“Usaha mempertingkatkan kemahiran pekerja dan isu-isu intergriti tidak terpisah dalam memastikan etika dan budaya kerja cemerlang dalam perkhidmatan.
“Ia belum mengambil kira isu kakitangan kontrak atau sambilan, lambakan lepasan universiti, pembuangan pekerja, gaji minimum, kemasukan pendatang asing dan pelbagai isu yang menyelubungi kehidupan golongan pekerja negara ini.
“Tahniah buat CUEPACS, MTUC dan organisasi lain yang tidak henti-henti memperjuangkan nasib pekerja negara ini,” tambahnya lagi.