Bekas timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam podcastnya semalam membuat kenyataan mengejut berkenaan dengan sikap perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya dalam satu mesyuarat pimpinan.
Kata Rafizi, Anwar semasa mesyuarat terakhir dengannya meninggikan suara selama 20 minit.
“Anwar Ibrahim jerit kat aku untuk tempoh 20 minit masa tu,” kata bekas menteri ekonomi itu.
Ketika itu hangat perbincangan berkenaan dengan pemilihan PKR yang didakwa berlaku penyelewengan dalaman.
Namun hari ini, dua wakil MPP yang berada dalam mesyuarat tersebut menafikan Anwar berbuat sedemikian kepada MP Pandan itu.
Dr Maszlee Malik dalam hantarannya di facebook menafikan perdana menteri menjerit memarahi Rafizi pada waktu itu.
“Sesiapa yang mengatakan bahawa Presiden Keadilan (PKR) menjerit memarahinya selama 20 minit pada mesyuarat tersebut, sama ada beliau menipu, ataupun beliau berhalusinasi atau penghidap Skizofrenia yang kronik,” kata bekas menteri pendidikan itu dalam hantaran yang dimuat naik lewat malam tadi.
Perkara serupa turut disuarakan Pengerusi PKR Perlis, Noor Amin Ahmad, yang menafikan dakwaan Rafizi dalam satu kenyataan ringkas di platform X (Twitter).
“Saya pun hadir (dalam mesyuarat itu). Tak tahu pula ada gaduh besar. Tak rasa ada tinggi suara sampai dekat setengah jam,” katanya.
Sebelum ini, Rafizi tewas jawatan timbalan presiden PKR kepada Nurul Izzah Anwar pada pemilihan mei yang lalu.
baca: Ramli rafizi pembedahan