Peminat bola sepak pakat bida kasut bola, jersi zaman kegemilangan Safee Sali

Oleh KIM SYAZIE

Selepas berjaya melelong koleksi jersi ketika bermain untuk Skuad Harimau Selatan dengan harga bidaan sebanyak RM2,888, Safee Sali kini melelong pula jersi yang pernah dipakainya semasa zaman kegemilangan bersama Selangor pada tahun 2009.

Bekas pemain kebangsaan itu membuka bidaan sehingga esok. Tawaran tertinggi setakat ini adalah RM2,300.

“Masanya untuk melepaskan semua jersi yang penuh dengan kenangan. Setiap jersi ini bukan sahaja dipakai di dalam perlawanan, malah ada banyak cerita dan pengalaman disebalik jersi-jersi ini. Ini adalah ketika zaman kegemilangan Selangor pada tahun 2009.

“Kini saatnya untuk para peminat memilikinya dan meneruskan kenangan tersebut. Tawaran tertinggi akan berpeluang memiliki jersi ini,” katanya di Facebook.

Selain itu, penyampai radio Era itu juga melepaskan kasut ‘istimewa’ yang digunakannya ketika membantu Harimau Malaya muncul juara Piala AFF pada 2010.

Kejayaan menjulang Piala AFF 2010 adalah kejuaraan tunggal yang diraih skuad negara sejak kejohanan tertinggi Asia Tenggara itu diperkenalkan pada 1996.

Skuad Harimau Malaya muncul juara selepas menewaskan Indonesia menerusi agregat 4-2 dengan aksi final dilangsungkan secara timbal balik.

Malah, Safee yang menjadi peledak berbisa buat Harimau Malaya ketika itu muncul penjaring terbanyak kejohanan apabila meledak lima gol termasuk menyumbang tiga jaringan dalam aksi final.

“Sekarang ini tiba masa untuk melepaskan kasut istimewa yang saya pakai semasa perlawanan akhir! Ini adalah simbol perjuangan, kebangkitan dan kejayaan. Kini, ia untuk anda semua, peminat saya.

“Tawaran tertinggi akan mendapat peluang memiliki sebahagian daripada sejarah yang tercipta sepanjang bersama kasut yang istimewa ini, terutama ketika final AFF 2010 menentang Indonesia di Stadium (Nasional) Bukit Jalil.

“Kasut ini jugalah yang membuat jaringan tandukan ketika itu. Jangan lepaskan peluang untuk memiliki untuk simpanan anda pula selepas ini,” tulis Safee.

Baca juga: Pelanggan bagi 1 star sebab ketupat frozen hancur berderai masa makan, sekali ‘seller’ ajar cara nak kukus