Pempengaruh terharu isteri terima dari berat 200kg, kahwin dalam versi terbaik – “Gemuk tak ‘awesome’”

Oleh WAN SITI AMINAH

Pempengaruh dikenali sebagai Rifdi Amri yang sebelum ini terkenal dengan kandungan ulasan makanan kembali menjadi sorotan ramai baru-baru ini selepas memuat naik gambar perkahwinannya.

Menerusi hantaran yang dikongsikan menerusi platform Threads itu, Rifdi turut memuat naik gambar kenangan di awal perkenalan bersama isterinya ketika berat badannya mencecah 200 kilogram (kg).

Kedua-dua gambar berkenaan dipaparkan bukan sekadar untuk berkongsi khabar gembira sebaliknya bertujuan menunjukkan perubahan diri sekali gus menyampaikan penghargaan buat isteri tercintanya.

Rifdi mengakui berada di titik terendah dalam hidupnya ketika berat badan mencecah 200kg namun bersyukur wanita berkenaan tidak pernah meninggalkannya malah sentiasa memberikan semangat.

Oleh yang demikian, pempengaruh itu menyeru orang ramai supaya tidak berputus asa terutama jika mengalami masalah berat badan berlebihan dan tetap berusaha serta percaya kepada percaturan Yang Maha Kuasa.

“Isteri terima aku di saat berat badan hampir mencecah 200kg. Saat aku berada pada titik terendah dalam hidup. Tetapi dia sentiasa ada dengan aku untuk memberikan semangat.

“Sekarang aku berikan dia diri ini dalam versi yang terbaik. Kepada mereka di luar sana yang macam aku, tolonglah jangan berputus asa. Mohon percaya kepada percaturan Allah. Terus istiqamah dan tawakal (turunkan berat badan),” katanya.

Pempengaruh itu juga mengingatkan mereka yang mahu menurunkan berat badan agar tidak meletakkan sasaran untuk mendapatkan bentuk tubuh kurus atau menarik namun bertujuan menjalani hidup lebih sihat.

“Obesiti dan gemuk ini tak ‘awesome’. Pelan-pelan kayuh dan nikmati perjalanan (turunkan berat badan). Jangan sasarkan nak kurus sahaja. Tetapi letakkan sasaran nak hidup sihat. Aku doakan kamu semua.” Ujarnya.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna mengucapkan tahniah di atas khabar gembira perkahwinan serta mendoakan kebahagiaan kepada rumah tangga pempengaruh terbabit.

Ramai juga pengguna berkongsi rasa terharu dengan ucapan penghargaan diberikan pempengaruh terbabit kepada isterinya serta mendorong Rifdi untuk menjadi diri sendiri dalam versi terbaik.

“Tahniah, tetapi perjalanan mesti diteruskan. Selepas ini pilihlah pemakanan yang betul dan jangan lupa untuk turunkan lemak badan. Tingkatkan jisim otot melalui senaman. Cuba jangan buat kandungan makanan lagi kerana boleh kembalikan tabiat lama,” kata seorang pengguna.

“Terima kasih kerana menunjukkan contoh lelaki yang menghargai keberadaan wanita kerana telah menyokong di sisi. Semoga hubungan tuan dan puan kekal hingga ke Jannah.” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: Bertahun-tahun tak ada panggilan kerja, lelaki redha kerja di kedai photostat walaupun berkelulusan PhD