Pempengaruh turunkan harga kek coklat dari RM39 ke RM29, netizen tetap nak boikot?

Oleh WAN SITI AMINAH

Tindakan seorang pempengaruh memasarkan produk keluaran terbaharunya iaitu kek coklat yang diberi nama ‘Kek Hitam Premium’ telah menjadi topik perbincangan hangat di platform media sosial, baru-baru ini.

Mana tidaknya, pempengaruh terbabit dikatakan menjual produk sulungnya itu dengan harga yang disifatkan tidak masuk akal untuk kek coklat berikutan orang ramai boleh membelinya dalam kadar lebih rendah di pasaran.

Pengguna media sosial turut mempersoalkan penetapan harganya kerana dikatakan terlalu mahal berbanding kos untuk membuat kek coklat termasuk bahan-bahan yang tidak jauh berbeza daripada produk sedia ada.

Kek coklat berkenaan turut dijual di dalam bekas plastik berwarna hitam bersama sudu kayu biasa membuatkan rata-rata pengguna media sosial tidak bersetuju pencuci mulut tersebut dijual dengan harga RM39.

Kritikan dan kecaman yang diterima tidak membuatkan pempengaruh itu berdiam diri sebaliknya mencuba untuk mencari jalan penyelesaian dengan menetapkan harga baharu iaitu RM29 mencatatkan penurunan RM10.

Pelanggan juga akan menerima ‘hadiah percuma’ berupa sampul raya dengan setiap pembelian manakala kotak istimewa bersama tiga rekaan sampul raya dan pelekat pula diberikan kepada pembeli dua bekas kek coklat.

@fendymojo

Aku ambil setiap kritikan yang membina. Dan sekarang, setiap pembelian kek hitam premium akan dapat sampul raya. Untuk yang beli 2, dapat ultimate box ni sekali. #hitampremium #fendymojo

♬ original sound – Fendymojo – Fendymojo

“Aku baru sahaja keluarkan produk Kek Hitam Premium ini. Ramai yang kritik mengenai penetapan harga. Semua komen aku baca dan terima dengan hati yang terbuka. Memang betul, aku silap letak harga macam itu.

“Dari hati yang terdalam, aku minta maaf sangat-sangat kepada kamu semua. Terutamanya kepada para pengikut yang memberikan sokongan untuk membeli kek namun tidak dapat berbuat demikian kerana harganya mahal,” katanya dalam perkongsian di platform TikTok.

Penjelasan pempengaruh terbabit bagaimanapun tidak disambut baik oleh rata-rata pengguna media sosial yang masih menganggap harga baharu tersebut masih mahal hanya untuk sebekas kek coklat.

Ramai juga pengguna TikTok berkongsi pendapat bahawa pempengaruh berkenaan sudah tentunya boleh menjana keuntungan yang banyak hingga sanggup menurunkan harga sebanyak RM10 selain mahu memboikot produk tersebut.

“Boikot sahaja agar dapat dijadikan sebagai pengajaran. Jangan mulakan perangai menjual makanan dengan harga yang terlalu mahal. Lebih baik sokong mak cik yang menjual di gerai-gerai kecil,” kata seorang pengguna.

“Daripada harga RM39 boleh turunkan kepada RM29. Siap boleh berikan kotak dan hadiah percuma. Nampak tak berapa banyak untung dia boleh cekau.” Kongsi pengguna lain mengulas tindakan pempengaruh itu.

Baca juga: Pemuda beli nasi lemak ‘king crab’ dan udang kara berharga RM630