Pemuda AMANAH Nasional membuktikan sayap parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu menjaga kebajikan aktivis termasuk mewujudkan tabung pendidikan untuk anak ahli yang meninggal dunia.
Ketuanya yang baharu, Mohd Hasbie Muda berkata, pihaknya menjaga kebajikan tiga anak bekas Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Allahyarham Shazni Munir Mohd Ithnin yang maut akibat Covid-19 pada Ogos lalu.
“Allahyarham ada tiga anak dan meninggalkan seorang balu. Kita berikan anak-anaknya RM10,000 SSPN (Skim Simpanan Pendidikan Nasional) setiap seorang. Apabila masuk universiti mereka sudah ada wang,” katanya dalam bual bicara menerusi Jom Channel malam tadi.
Hasbie yang juga bekas Ketua Pemuda AMANAH Terengganu berkata, selama setahun ini juga, Pemuda AMANAH Nasional menyediakan wang saku bulanan kepada isteri Allahyarham sebanyak RM3,000.
“Itu komitmen kita. Soal kebajikan ahli kami tidak harus ada kompromi. Anak-anak arwah Shazni Munir adalah anak-anak kami,” katanya.
Hasbie berkata demikian dalam program Bicara Semasa (Siri 24) bertajuk, “Ketua Pemuda Baharu: Ke Mana Hala Tuju” yang dimoderatorkan oleh Shaiful Roseman.
Untuk rekod, Allahyarham Shazni, 34, yang juga Ketua Pemuda PH meninggal dunia pada 6 Ogos lalu selepas dilaporkan bergejala serius iaitu tahap 4 pada 24 Julai. Sebelum itu, Allahyarham diserang demam panas selama lima hari.
Mengulas lanjut, Hasbie menegaskan AMANAH tidak harus mengabaikan kebajikan ahli dan aktivis parti.
“Kita tidak harus meninggalkan aktivis-aktivis parti. Kebajikan mereka harus dijaga.
“Apabila Ketua Pemuda meninggalkan kami, kita menjaga kebajikan anak-anaknya. Dalam al-Quran sebut, kita bukan sekadar jaga kebajikan anak yatim bahkan harus memuliakan.
“… Bukan hanya jawatan tetapi kebajikan mereka, itu adalah keutamaan,” kata Hasbie lagi.