Pemuda Amanah cadang pilihan raya serentak Selangor, P Pinang segera

Oleh MALAYSIADATELINE

Sany Hamzan Pemuda Amanah setuju dengan saranan Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang agar Selangor mengadakan pilihanraya negeri lebih awal, bahkan lebih baik jika langkah tersebut disekalikan dengan Pulau Pinang.

Ketuanya, Sany Hamzan berkata, tindakan ini perlu agar momentum penolakan rakyat terhadap Datuk Seri Najib Razak mampu digarap ke arah gelombang yang lebih besar.

“Suka ataupun tidak, Najib akan memastikan persempadanan semula ini terlaksana dan bakal memanfaatkan sepenuhnya ‘gerrymandering’ yang diolah untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri.

“Jika pendokong perubahan mahu kekal mengikut arus yang sedang digerakkan ini, maka impian perubahan yang mahu dicapai dalam pilihanraya umum akan datang sudah boleh dikuburkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta rundingan ke arah pembahagian kerusi di kalangan parti-parti dalam Pakatan Harapan (Amanah, PKR dan DAP) perlu berjalan dengan pantas.

Parti-parti lain seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) juga perlu dilibatkan jika matlamat satu lawan satu mahu direalisasikan, katanya.

“Bahkan jika Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah tuntas berpendirian untuk mengalahkan Najib Tun Razak juga, tidak salah untuk dilibatkan sama dalam perbincangan,” kata Sany.

Katanya, ahli politik Pakatan Harapan bertanggungjawab untuk memastikan impian perubahan yang diingini rakyat terlaksana. Ketepikan ego yang tidak bertempat.

“Rakyat telah lama menunggu untuk menolak Najib dan Barisan Nasional. Nah, bola kini di kaki kita. Mahu dirembat terus ke gawang lawan atau terus berpusing-pusing di tengah padang,” kata beliau lagi.