Pemuda AMANAH Nasional mendesak Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menilai kembali SOP yang telah ditetapkan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengarah Pilihan Rayanya, Asmaaliff Abdul Adam berkata, kerajaan juga perlu tegas dalam melaksanakannya tanpa mengira latar belakang individu atau parti terlibat.
Beliau berpendapat majlis pelancaran jentera pilihan raya BN di PWTC yang dihadiri pimpinan tertinggi Umno bukti parti tersebut tidak serius dengan SOP.
“Walaupun dikenakan denda, tetapi perkara tersebut secara terang-terangan menunjukkan Umno langsung tidak menghormati semangat mengapa SOP itu diperkenalkan.
“Ini belum lagi berkait tindakan pilih kasih kerajaan PN dan BN sebelum ini dalam mengenakan tindakan terhadap pelanggaran SOP ini,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairy pada 24 Oktober lalu telah mengumumkan ketetapan baharu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya dilarang bermula 25 Oktober hingga 27 November.
Semalam, BN telah mengadakan pelancaran Jentera Pilihan Raya BN di PWTC dihadiri pimpinan tertinggi Umno.