Pemuda Amanah sifatkan Isis radikal, tidak Islamik

Oleh MALAYSIADATELINE

Di saat Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membongkar rancangan keganasan  Isis untuk melakukan serangan bom di ibu kota Kuala Lumpur, Pemuda Amanah Nasional mengutuk serangan letupan oleh pengebom berani mati yang berlaku di Istanbul pada 13 Januari dan serangan sama berserta adegan tembak-menembak di Jakarta pada keesokan harinya.

Menurut Pengarah Hubungan Antarabangsa, Dr Mohammad Tazli Azizan, tindakan tidak berperikemanusiaan dan bercanggah dengan ajaran Islam yang diakui dilakukan oleh militan ISIS itu mengundang pandangan serong masyarakat dunia kepada Islam.

“Ini sekaligus menyemarakkan fenomena Islamofobia di antara mereka sedangkan perbuatan sebeginilah yang dikutuk oleh Islam, iaitu membunuh jiwa-jiwa yang tidak berdosa, sama ada mereka Muslim ataupun tidak,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sehubungan itu, pihaknya berpendapat umat Islam di Malaysia harus sedar bahawa tindakan memberikan sokongan kepada ISIS adalah satu tindakan yang tidak bermanfaat kerana kumpulan pengganas itu tidak layak mewakili masyarakat Islam malah merosakkan imej Islam.

“Masyarakat di Malaysia wajar dididik untuk mengenali siapakah ISIS dan mengapakah kita semua patut menolak ISIS sebagai satu gerakan yang radikal dan tidak Islamik.

“Marilah kita memanjatkan doa kepada Allah SWT agar segala kemelut ini dapat ditamatkan dengan sebaik mungkin. Tambahkan ilmu di dada agar kita benar-benar memahami Islam itu sendiri, Islam yang menjadi rahmat untuk seluruh alam, rahmatan lil alamin,” ujarnya.

Mengulas kawalan keselamatan dalam negara, Dr Tazli berkata, pihaknya yakin kerajaan Malaysia sentiasa bersiap siaga bagi tujuan tersebut dengan menjalin kerjasama bersama negara-negara di Asia Tenggara supaya segala tindakan ISIS dapat dihalang sebelum mengakibatkan huru-hara di rantau ini.

“Kami bersama-sama dengan masyarakat di Turki dan Indonesia atas dasar kesejagatan ummah menolak mentah-mentah tindakan ISIS,” tambahnya lagi.

Dalam hal berkaitan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata, pihaknya meningkatkan amaran keselamatan negara ke tahap paling tinggi dengan kawalan ketat di kawasan sempadan Malaysia bagi mengekang kemungkinan penyusupan elemen ektremis.

Selain itu, ujarnya, lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai seperti pusat beli-belah dan destinasi pelancongan juga menjadi fokus kawalan Polis Diraja Malaysia (PDRM).