Pemuda AMANAH Nasional sebentar tadi mengumumkan perkembangan hasil kutipan sumbangan orang ramai dalam usaha membeli penyembur air berkualiti bagi tujuan membersihkan rumah mangsa banjir.
Menerusi perkongsian di laman rasmi Facebook sayap parti AMANAH itu, kutipan untuk water jet mencecah RM9,591.80 setakat jam 5 petang, 23 Disember.
“Beli sembilan water jet, jumlah RM7,092.00. Baki RM2,499.80,” katanya.
Malam tadi juga, jelas Pemuda AMANAH, pihaknya telah mengedarkan penyembur air berkualiti tersebut ke beberapa tempat sekitar Hulu Langat, Puchong, Shah Alam, Kota Raja, Sepang dan Kuala Langat.
“… sejak pukul 8 (malam) tadi pun masih rancak masuk (sumbangan wang).
“Di sana rancak, di sini rancak, mana-mana rancak. Pahala. Insya-Allah esok kami kemaskini lagi,” katanya diakhiri tanda pagar #AmanahPeduli dan #WaterJetPemudaAmanah.
Sebelum ini, muncul kritikan sebahagian warganet yang mempersoal kewajaran Pemuda AMANAH membuat kutipan sumbangan dengan sasaran dapat membeli 65 unit water jet bernilai RM1,000 seunit.

Mengulas kritikan tersebut, Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasbie Muda berlapang dada apabila orang ramai membincangkan hasrat pihaknya untuk membeli peralatan itu.
“Sekurang-kurangnya ramai mulai sedar dan faham beza antara water jet harga RM200 dengan yang RM1,000 ke atas.
“Bagi yang biasa dengan dengan kerja-kerja pembersihan pasca banjir, mereka mudah faham.
“Apapun terima kasih kepada yang kritik. Itu juga satu bentuk check & balance kepada Pemuda (AMANAH),” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau.
Hasbie yang juga bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada mantan Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan itu berkata, Pemuda AMANAH Nasional adalah sayap parti yang cukup teliti dan telus dalam bab tatacara kewangan.
“Setiap sen yang dibelanjakan kami soal dalam mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Pemuda AMANAH Nasional. Setiap pembelian dan pembayaran mesti ada resit dan baucar.
“Bagi yang ragu-ragu untuk sumbang dana, bagi water jet terus pun boleh. Yang penting kita sama-sama menyumbang untuk bantu mangsa banjir,” kata Hasbie lagi.