Pemuda beli nasi lemak ‘king crab’ dan udang kara berharga RM630

Oleh KIM SYAZIE

Seorang pemuda dari Kemaman, Terengganu menarik perhatian ramai selepas dia membeli nasi lemak berlaukkan ‘king crab’ dan makanan laut lain yang mencecah lebih RM600.

Selain king crab, dia juga memesan dua ekor udang kara (lobster) yang berharga RM100 untuk seekor.

Menerusi video yang dikongsi di TikTok gerai nasi lemak berkenaan, pemuda itu juga memesan lauk seperti sotong dan telur puyuh.

Difahamkan, hidangan makanan laut itu dijual di sebuah gerai nasi lemak berlauk yang terkenal di Dungun, Terengganu.

Orang ramai teruja melihat hidangan mewah yang dibeli pemuda berkenaan selain berjenaka mengenai hidangan king crab masak sambal yang dijual peniaga berkenaan.

“Dapat dekat orang Melayu, dia masak sambal ye guys Alaska king crab. Menangis orang Alaska tengok menu dia,” kata Akmal.

“Orang luar duk kata orang Tranung dengan Kelate miskin. Dok nampok ke orang Tranung dengan Kelate ni kaya-kaya,” komen Jari Menari.

“Kita nampak dia beli RM600 lebih. Kita tahu ke berapa lama dia menyimpan. Mungkin rezeki dia dapat bonus, kita doakan yang baik-baik je,” kata pula Zam Hemsem

Baca juga: “Aku terlepas bayaran 3 kali je, rimas bila mereka ‘call’ setiap hari, rasa menyesal guna BNPL…’