Lelaki bujang tak mampu beli rumah walau gaji RM10,000, rupanya ini punca masalahnya

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu perkongsian dari seorang pemuda yang mengakui dirinya mungkin memerlukan pekerjaan sambilan jika rancangannya untuk membeli rumah dimuktamadkan suatu hari nanti.

Perkongsian tersebut mengejutkan ramai pihak berikutan pemuda itu merasa mungkin tidak mampu menampung komitmen bulanan selepas rumah itu dibeli sedangkan pendapatannya kini sudah mencecah lebih RM10,000.

Menerusi satu hantaran dimuat naik di sebuah forum atas talian, pemuda berusia 32 tahun terbabit memaklumkan bahawa dirinya masih belum mendirikan rumah tangga dan hanya memiliki dua ibu bapa yang sudah tua.

Walau bagaimanapun, pemuda itu tetap terbeban kerana mempunyai komitmen yang tinggi melibatkan ansuran bulanan untuk tiga biji kereta, kos sewa dan utiliti rumah, makanan serta hiburan termasuklah perbelanjaan lain.

“Pendapatan bersih sekitar RM10,100 sebulan. Kalau ikut perbelanjaan semasa, tidak cukup. Saya perlu pendapatan sampingan. Kerana setiap bulan perlu lunaskan ansuran bulanan kereta sebanyak RM2,000 untuk dua biji Proton Perodua dan sebuah Toyota Vios.

“Saya juga perlu membayar pinjaman pendidikan bernilai RM200 setiap bulan, kadar sewa RM1,600 dan utiliti rumah sebanyak RM200. Saya juga memperuntuk wang RM1,500 buat perbelanjaan makanan kebanyakkannya pemesanan secara atas talian dan hiburan.

“Manakala wang sebanyak RM670 pula digunakan untuk membayar pelan telefon (RM300), internet (RM150) dan insurans (RM200). Jadi jumlah keseluruhan perbelanjaan bulanan yang saya gunakan untuk membayar komitmen adalah sekitar RM6,170 setiap bulan.

Rupa-rupanya lelaki terbabit banyak menghabiskan wang untuk menampung perbelanjaan melibatkan keluarganya termasuklah adik-beradik malah rumah yang mahu dibeli juga bakal diduduki ibu bapanya bukanlah dirinya sendiri.

Pemuda itu merancang untuk membeli rumah berharga RM650,000 sehingga RM700,000 menyebabkan jumlah gajinya hanya berbaki RM1,200 ekoran perlu membayar ansuran bulanan sekitar RM2,800 setiap bulan.

“Dua buah kereta itu untuk kegunaan ibu bapa dan adik-beradik. Pelan telefon juga saya pilih yang pelan keluarga (termasuk mereka). Saya hanya mendapat julat gaji ini sekitar satu hingga dua tahun. Jadi saya dapatlah simpan dan menikmati sedikit.

“Tetapi sekarang saya perlu belikan rumah untuk ibu bapa yang mungkin memakan kos ansuran bulanan sebanyak RM2,800. Dipendekkan cerita, saya perlukan pendapatan sampingan kalau mahu membeli rumah untuk mereka. Tetapi saya tidak boleh tinggal bersama.

“Kami baik-baik sahaja namun itulah keadaannya. Jadinya sewa rumah saya sendiri masih lagi menjadi komitmen. Jika saya bayarkan ansuran rumah dalam RM2,800 setiap bulan, jadi jumlah perbelanjaan bulanan adalah sekitar RM8,900.” Jelasnya.

Perkongsian pemuda berkenaan mulanya dimuat naik di platform Reddit sebelum dimuat naik semula di laman media sosial Thread oleh individu lain menerusi gambar tangkap layar memaparkan hantaran asal.

Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna berkongsi pandangan bahawa pemuda terbabit sepatutnya tidak perlu terlalu membebankan diri dengan perbelanjaan komitmen keluarganya sedangkan adik-beradik yang lain masih ada.

Ramai juga pengguna memberi cadangan agar lelaki itu mengurangkan belanja makanan dan hiburan dengan memasak sendiri sekiranya masih mahu membeli rumah tersebut selain meletakkan hartanah berkenaan di atas namanya ekoran pembayaran hanya dibuat olehnya.

Baca juga: Ibu tunggal raih ratusan ribu ringgit jahit baju mewah tapi harga marhaen