Pemuda jumpa duit berterbangan di LPT Gambang, jumlah lepas kutip cecah RM1,000!

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan seorang pemuda sedang mengutip sejumlah wang yang tercicir di ruangan tengah pembahagi jalan di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Gambang, Pahang.

Menurut pemuda terbabit, wang tunai itu bukan miliknya sebaliknya tercicir sebelum berterbangan ke arahnya dari pengguna jalan raya lain yang menunggang motosikal jenis R25 di lebuh raya tersebut.

Jelasnya, penunggang berkenaan memotongnya dengan agak laju sehingga menyebabkannya tidak sempat untuk mengejarnya bagi memaklumkan mengenai wang yang sudah tercicir berterbangan di atas jalan raya itu.

Menerusi video itu, pemuda terbabit memberitahu bahawa wang yang dikutipnya bukanlah dalam nilai yang sedikit namun mencecah RM1,000 malah kad bank milik penunggang motosikal terbabit turut tercicir.

“Apalah dugaan pemilik ini sampai terbang duitnya. Dekat RM1,000 pula itu (jumlah wangnya). Nak kejar tak dapat sebab dia sudah melaju terus naik R25,” kata pemuda itu dalam ruangan kapsyen hantaran yang dimuat naik di platform TikTok itu.

@ajiq.jer

apa lah dugaan onwer ni sampai terbang duit yer dekat 1k pulak tu nak kejar tak dapat dia dah laju terus naik r25😢#fyp #fyp#foryou #viral #raya #raya2025 #lpt #viralvideo

♬ original sound – ACHIK AFIQ 06 – Achik Afiq 06

Menurut pemuda itu, rakaman yang kini sudah meraih 3.8 juta tontonan tersebut dibuat dan dimuat naik di platform media sosial sebagai bukti kepada pemilik bahawa wang tersebut langsung tidak diambilnya.

Dalam perkongsian seterusnya, perakam video tersebut memberitahu bahawa penunggang motosikal berkenaan sudah berjaya ditemui dan wang beserta dompet sudah dipulangkan kepada pemiliknya.

“Dalam jarak 100 meter di belakang penunggang terbabit, saya perasa ada duit terbang dari depan yang bersepah di tengah lebuh raya itu. Saya bawa perlahan, tak sempatlah nak kejar dia. Kemudian saya kutip duit dengan dompet dia di tengah jalan dan rekod video sebagai bukti.

“Selesai kutip duit, ingatkan nak selesaikan di balai. Tetapi sempat tengoklah kad pengenalan dia, orang Senawang. Saya tanya kawan dari Senawang dan dia tolong kongsi di kumpulan sembang kawasan itu di atas talian. Tidak lama dalam tempoh dua jam, Allah permudahkan.

“Dapatlah maklumat pemilik yang masa itu dekat hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, minyak motor dia habis. Kawan dia kongsi nombor saya. Pemilik terus Whatsapp dan telefon saya. Mula tak percaya. Selepas itu saya suruh baca nombor kad pengenalan dan beritahu jumlah wang. Alhamdulillah, betul pemilik.” Kongsi pemuda itu.

Baca juga: Makin ramai penjawat awam buat ‘loan’ demi hari raya