Pemuda Pakatan Harapan (PH) hari ini melancarkan jentera PRK Port Dickson selepas mengadakan mesyuarat di Bilik Gerakan Utama Port Dickson.
Antara yang hadir adalah Ketua Pemuda HARAPAN dan Ketua AMK Nik Nazmi Nik Ahmad, Timbalan Ketua Pemuda PH dan Ketua Pemuda AMANAH Sany Hamzan, EXCO Armada Danny Ho dan Pengarah Pilihan Raya Pemuda PH dan AMK Tan Kar Hing.
Fokus Pemuda adalah meningkatkan peratusan keluar mengundi sehingga 60 peratus dan memaksimumkan anak muda turun mengundi. Pengundi bawah 40 tahun terdiri dari 40 peratus pengundi Port Dickson.
Nik Nazmi meminta jentera Pemuda Pakatan Harapan bekerja keras dan tidak ambil mudah Pilihan Raya Kecil ini. Isu peluang pekerjaan dan pembangunan Port Dickson akan menjadi tumpuan pemuda Pakatan Harapan.
PRK Port Dickson diadakan berikutan kekosongan kerusi penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk memberikan laluan kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
PRK Parlimen Port Dickson setakat ini menarik minat beberapa pihak lain selain Anwar iaitu dua parti politik, Pas dan Parti Rakyat Malaysia, selain calon bebas yang juga personaliti media sosial Stevie Chan Keng Leong untuk mengambil bahagian.
Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas untuk membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, untuk bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas.