Pemuda Umno nilai semula analisis TPPA, nasihat jangan buat bantahan jalanan

Oleh BORHAN AHMAD

Pergerakan Pemuda Umno akan membentangkan dapatan daripada penilaian semula dibuat oleh pakar rujuk ekonomi khusus dilantik pihaknya untuk penilaian semula laporan analisis Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Analisis dilakukan antara Institut Kajian Strategik Antarabangsa (ISIS) dan sebuah syarikat perunding firma asing Price Waterhouse Coopers (PWC) bertujuan
menganalisis kos manfaat TPPA kepada Malaysia.

Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin berkata, laporan analisis yang dibuat oleh PWC itu didapati banyak bersandarkan kepada andaian terutama menyentuh tentang kos faedah jika TPPA dilaksanakan di negara ini.

“Daripada laporan disediakan ISIS dan PWC berkaitan kos faedah itu, kita (Pemuda) nak tahu adakah betul boleh dicapai atau mengunakan terlalu banyak andaian dalam kajian PWC itu yang menyebut KDNK akan melonjak jika TPPA dilaksanakan.

“Kita mahu periksa betul-betul kajian itu tepat atau tidak atau bergantung kepada andaian semata-mata, mungkin tidak dapat dijamin boleh terjadi atau tidak bila TPPA dilaksanakan kelak.

“Selain itu dari segi impak TPPA kepada usahawan kecil dan sederhana pula, kita
dapati kajian itu banyak beri fokus kepada syarikat besar dan antarabangsa, malah
banyak faedah dikatakan akan dapat pada syarikat besar.

“Ini seolah-olah tidak ada penghubung secara menyeluruh dikalangan usahawan kecil dan sederhana tempatan negara ini.

“Jadi perkara ini amat perlu diperhalusi oleh Pemuda,” dedah Menteri Belia dan Sukan itu ketika menjawab soalan yang diajukan Malaysia Dateline berkaitan TPPA
dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda kali pertama tahun ini, di Ibu Pejabat Umno semalam.

Dimaklumkan juga sesi penjelasan pakar rujuk itu akan di adakan di Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI) di Petaling Jaya pada 16 Januari ini.

Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa (MITI),  Datuk Seri Mustapha Mohamed pada Oktober lalu telah menyerahkan dokumen TPPA kepada ISIS dan PWC untuk kajian analisa kos-manfaat.

Bagaimanapun kewajaran pelantikan firma asing PWC mendapat tentangan daripada pemimpin pembangkang.

Sambung Khairy lagi, dapatan itu akan diserahkan kepada Menteri terbabit sebelum sesi perbahasan berkaitan TPPA di Parlimen pada penghujung bulan ini.

Ditanya mengenai Himpunan Aman Bantah TPPA oleh Kongres Rakyat yang akan diadakan 23 Januari di Dataran Merdeka serta pembabitan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Bantah TPPA yang mendapat sokongan parti-parti pembangkang. 

Ahli Parliman Rembau ini mengharapkan NGO dan parti pembangkang mengambil tindakan menghantar hasil dapatan kaji selidik mereka mengenai TPPA kepada MITI berbanding mengadakan bantahan di Dataran Merdeka.

“Saya harap mereka boleh sampaikan kepada pihak berkenaan, bentangkan hasil kajian mereka seperti yang kita nak buat di AKHI kemudian kita akan jumpa MITI.

“Jika nak bantah dalam perhimpunan rakyat begitu macam mana nak sampaikan secara terperinci hasil kajian mereka,” ujarnya.

Ditanya sama ada akan turut membantah dalam perbahasan di Parlimen sekiranya dapatan itu kelak tidak memihak kepada kebaikan rakyat dan negara, beliau menjawab:

“Saya tidak mahu mendahului perbincangan dan biarlah ada perbincangan. Malah kita tidak akan terlibat (bantahan) tetapi kita terlibat secara langsung menilai
beberapa isu TPPA ini dengan cara kita.

“ Hal ini terpulang kepada ahli parlimen pakatan pembangkang kalau mereka nak bantah, bantahlah,” ujarnya.

Dijangka pada 26 dan 27 Januari ini Menteri dipertanggungjawabkan akan membentangkan TPPA di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Justeru apa juga kegelisahan, kemusykilan dan kebimbangan ahli parlimen akan dijawab oleh Datuk Seri Mustapha Mohamed.

Dalam perkembangan terkini Pakatan Harapan dan PAS telah menyatakan pendirian untuk mengadakan bantahan di Parlimen berkaitan TPPA pada tarikh tersebut.