Merujuk kepada usaha kerajaan untuk mengambil langkah pemulihan ke atas Felda dan FGV, Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mempersoalkan apakah ini dinamakan menang sorak kampung tergadai?
Dalam situasi FGV yang terumbang ambing, adalah terlalu awal untuk menjangkakan kemampuan Pengerusi dan CEO Felda membawa pelan pemulihan ke atas FGV, kata presiden persatuan tersebut Mazlan Aliman dalam satu kenyataan semalam.
“Sebelum FGV disenaraikan lagi, NGO Anak telah membuat bantahan dan tentangan kuat. Anak bertegas, penyenaraian FGV di Bursa Malaysia adalah satu malapetaka yang bakal memberi kesan buruk kepada Felda dan peneroka Felda.
“Segala usaha dan ikhtiar dibuat. Merayu kepada YAB Perdana Menteri dengan menyerah sendiri memorandum di pejabat PM di Putrajaya.
“YAB PM bukan sahaja tidak menghargai pandangan Anak, bahkan tergamak mengungkapkan perkataan kesat ‘haram jadah’ kepada penentang FGV,” kata Mazlan.
Anak katanya lagi, pernah mengetuai himpunan aman di Bangunan Ibu Pejabat Felda, berarak dan menyerahkan memorandum ke Istana Negara, Jelajah Kembara Oren dan menggunakan saluran undang-undang.
“Tidak banyak pihak yang bersama Anak waktu itu. Rata-rata terpedaya dengan gambaran indah mengenai penyenaraian yang diumum dengan bangganya, kedua terbesar selepas Facebook. Apatah lagi setiap peneroka diberi RM15,000!
“Justeru, benarlah seperti kata Dr Jomo K Sundram, seorang pakar ekonomi, hari ini masyarakat Felda yang terdiri daripada peneroka, Generasi Baru Felda dan kakitangan Felda sekitar sejuta orang, telah menanggung akibat yang sangat buruk.

“Untuk meredakan amarah warga Felda, diberilah dedak/gula-gula melalui insentif, antaranya insentif khas berjumlah RM5,000 kepada peneroka ‘yang bersama Felda’,” jelas Mazlan.
Menurut Mazlan lagi, ada pihak yang memberi pandangan agar Anak menghentikan pertembungan dengan kerajaan dan melakukan kerjasama demi kebaikan peneroka.
“Sebenarnya, itulah yang diusahakan daripada awal. Sama ada YAB PM, Tan Sri Isa Samad, Datuk Ahmad Maslan dan Datuk Faizoul Ahmad, berbagai usaha dibuat. Sampaikan ke suatu peringkat ketika Datuk Ahmad Maslan menolak debat dan bersedia dengan ‘Dialog 3 hari 3 malam’ (ungkapan Ahmad Maslan), Anak menerima dengan senang hati.
“Malangnya, ego dan sikap sombong kerajaan, segala pandangan ditolak mentah-mentah. Bahkan Pengurusan Kanan Felda yang telah berkhidmat begitu lama menerima tekanan teruk, hanya kerana berbeza pandangan mengenai FGV.
Sambung Mazlan, bagi Anak, sementara kita merai dan menghargai langkah-langkah pemulihan ke atas Felda dan FGV, tidak dapat dinafikan, warga Felda mesti mempertimbangkan situasi yang ada demi masa depan mereka.
“Kuasa undi di 54 parlimen Felda seluruh negara harus dimanfaatkan dalam PRU14 ini. Sama ada mahu terus memilih kerajaan sedia ada, atau, kerajaan baharu, semuanya terpulang kepada kebijaksanaan peneroka.
“Barang diingat, kegagalan memulihkan Felda dan FGV, mimpi ngeri yang tidak terfikir oleh kita, boleh sahaja menimpa masyarakat Felda,” kata Mazlan memberi amaran.