Penat bela dari kecil, Rita Rudaini berang pencapaian anak dikait dengan ‘Lagenda JDT’

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon, Rita Rudaini berang apabila pencapaian anaknya mewakili Sabak Bernam dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Selangor (MSSS) 2024, baru-baru ini dikaitkan dengan bekas suami, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak.

Hal ini ekoran portal media tempatan menggunakan tajuk ‘Anak Legenda JDT’ untuk melaporkan prestasi anak sulung Rita iaitu Airit Rayyan Rizqin ketika beraksi dalam kejohanan tersebut.

Wanita berusia 48 tahun itu juga tidak berpuas hati apabila portal tersebut melabelkan pemain bola sepak berkenaan sebagai ‘legenda’ kelab bola sepak ternama tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Menurutnya, kejayaan anaknya itu tidak patut dikaitkan dengan lagenda berkenaan memandangkan remaja yang berusia 15 tahun terbabit selama ini dibesarkan olehnya seorang diri.

“Siapa legenda JDT itu? Celah mana? Apa kaitannya dengan anak yang aku jaga?

“Sengaja nak viral dengan cara jahat. Aku penat bela sejak kecil, tiba tajuk (berita): ‘anak legenda JDT’. Kepala hatok hang,” kata pemilik nama sebenar Rita Rudaini Mokhtar itu menerusi hantaran di Instagram Story.

Terdahulu, pencapaian Airit Rayyan Rizqin menjadi perbincangan apabila berjaya memecahkan rekod dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Sabak Bernam 2024, baru-baru ini.

Bukan sahaja memecahkan catatan di dalam acara larian 200 meter akhir pada 22 Ogos lalu, Airit Rayyan turut meleburkan rekod lebih 20 tahun bagi acara 100 meter di kejohanan sama.

Walau bagaimanapun, wakil kontinjen Sabak Bernam itu gagal melayakkan diri di pusingan kelayakan pada Isnin lalu dalam acara 100 meter kategori L4 di Kejohanan MSSS 2024.

Anak sulung Rita bersama Aidil Zafuan itu tidak berhasil mara ke pusingan akhir dalam acara pecut di kejohanan tersebut apabila mencatat masa 11.81 saat dan menamatkan aksinya di pusingan kesembilan daripada 25 peserta.

Sekadar info, Rita pernah berkahwin dengan Aidil Zafuan pada tahun 2008 lalu namun pasangan itu berpisah pada September 2013.

Baca juga: Saiful Apek dedah pernah terima dua guni surat benci dari peminat ketika awal pembabitan dalam Senario