Dunia hiburan bukanlah untuk semua orang apatah lagi banyak kes berlaku dalam industri seni, menunggang agama bagi mendapat perhatian, bercinta dengan suami orang.
Itulah dirasakan oleh penyanyi rap, Loca B yang membuat keputusan untuk mengundur diri daripada industri seni.
Menerusi sata kenyataan yang dimuat naik Loca atau sebenarnya Nabilah Hani Azali di Instagram, dia mengakui sudah hilang minat untuk kekal sebagai penyanyi rap.
“Ini adalah persembahan terakhir yang saya terima sebagai Loca B. Saya tidak lagi berminat untuk berada dalam industri hiburan Malaysia.
“Saya sangat suka menjadi seorang ibu dan isteri selain mahu memberi sepenuh fokus kepada kehidupan anak-anak,”katanya menerusi kenyataan dalam Instagramnya, hari ini.
Baru berusia 32 tahun, Loca menyifatkan dunia hiburan penuh dengan kepalsuan dan banyak menggunakan agama untuk menyembunyikan kebenaran.
“Kepalsuan, tikam belakang dan manipulasi ini tidak berbaloi.
“Tidak hormat kepada rumah tangga. Orang secara terbuka tidak hormat kepada pasangan masing-masing di mana sahaja mereka pergi.
“Kebanyakan orang menggunakan agama untuk menyembunyikan kebenaran,” jelasnya.
Pada masa sama, isteri kepada penyanyi rap Tuju ingin mencuba sehabis baik untuk menjadi contoh kepada anak-anaknya.
“Saya mahu ajar anak perkara yang saya tidak belajar semasa kecil. Saya mahu menjadi contoh kepada mereka tentang perhubungan sihat.
“Saya mahu rumah tangga yang indah, tiada hasutan orang luar,” luahnya lagi.
Pada masa sama, dia juga menginginkan sesuatu yang mencabar diriya selain mahu anak-anaknya memahami agama dengan lebih mendalam.
“Saya juga mahu anak-anak faham secara mendalam tentang agama serta cara untuk menjadi m. anusia yang jujur.
“Saya mahu sesuatu yang mencabar otak, mewahkan diri dengan ilmu ,” ujarnya lagi.
Mengambil iktibar akan isu yang berlaku di Palestin, Loca memilih untuk menamat karier dan berterima kasih dengan peminat yang tak lelah menyokongnya.
“Sejujurnya, isu di Palestin yang membuka mata saya. Terima kasih kepada semua yang menyokong sepanjang karier saya,” jelasnya.