Penat jadi ‘penyondol’, Julia Farhana idamkan watak lain lepas bergelar isteri

Oleh MAISARAH AISYA

Pastinya sebagai pelakon, ingin watak yang berbeza untuk mengembangkan bakat sedia ada.

Tapi ramai juga membawa watak sama dek kerana lakonan meninggalkan kesan hingga bertahun mengambil tawaran dengan jalan cerita yang sama.

Buat pelakon Julia Farhana, dia mengakui sudah taubat dan insaf daripada memegang watak ‘penyondol’ dalam drama lapor Kosmo! Online.

“Cukuplah. Saya sudah pun berkahwin. Saya dah taubat, dah insaf. Tak mahu jadi ‘penyondol’ lagi dalam drama.

“Sudah bertahun-tahun saya jadi penyondol dalam drama. Dulu dalam setahun ada empat ke lima drama saya lakonkan watak penyondol,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Meskipun sudah bertudung, Julia akui masih menerima watak sebagai ‘penyondol’ namun menolaknya untuk mencuba karakter lain.

“Saya rasa saya perlu hentikan situasi ini supaya saya dapat berkembang dalam lakonan. Bukanlah bermakna saya nak menolak rezeki.

“Pada awal karier sebagai pelakon dulu memang saya sasar untuk bawa watak antagonis. Watak antagonis banyak membantu memperkenalkan nama saya dalam dunia lakonan.

“Tetapi kini tiba masanya untuk saya lakonkan lebih banyak watak protagonis.

“Alhamdulillah watak saya sebagai protagonis dalam filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang diterima ramai. Itu petanda yang sangat baik,” ujarnya.

Baca juga: Tular rakaman ‘influencer’ pandu kereta laju waktu hujan sebelum kemalangan, undang kecaman netizen