“Setiap malam aku menangis berendam air mata, suami tak pernah tanya kenapa bersedih”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita tidak pernah menyangka keputusannya untuk berkahwin dengan suami yang ‘tidak dikenali’nya bakal menjadi punca kesedihan di dalam hidupnya.

Malah sikap lelaki itu yang pendiam telah menyebabkan wanita dikenali sebagai Zana merasa kehadirannya tidak dihargai dalam keadaan dirinya yang sudah jatuh sayang.

Tetap berusaha untuk menyelamatkan perkahwinannya, berikut perkongsian Zana yang masih lagi mencari jalan untuk menyelesaikan masalah rumah tangganya itu.

“Salam semua, izinkan saya luahkan sedikit kebimbangan diri mengenai sikap suami. Kenalkan saya Zana, berumur 32 tahun dan baru sahaja berkahwin nak masuk tujuh bulan. Saya kahwin pun orang ‘kenen’kan. Tak pernah bercinta sebabnya saya jenis berbadan besar dan rasanya tiada tarikan pun. Suami saya F, berusia 34 tahun.

“Suami ada ada dua-beradik sahaja. Kakaknya anak sulung dan dia pula bongsu. Ibu bapa mereka katanya sudah meninggal dunia ketika dua beradik itu masih kecil lagi. Keluarga mereka bukannya besar, saudara mara pun tak banyak. Waktu majlis kami hari itu, tak sampai 30 orang datang. Untuk makluman, kakak ipar ada kedai runcit.

“Saya pula bekerja sebagai guru dan ditempatkan di negeri Perlis. Dekat sinilah saya kenal kakak suami. Sebab selalu beli barang dekat kedai runcitnya. Saya akui, kakak dia memang baik. Selalu jugalah dia risik-risik saya sambil bercerita tentang adiknya. Katanya adik dia ini tak nak kahwin. Jenis buat hal sendiri dan tak bercampur orang.

“Suami juga tak nak duduk sekali dengan kakaknya. Sewa rumah asing dekat daerah lain. Banyaklah kakak ipar luahkan mengenai suami terutama kegusarannya kepada adiknya yang suka menjauh diri dari semua orang. Kakak suami turut fikirkan masa depan adiknya itu sebab asyik tolak jodoh sahaja. Suatu hari, kakak dia terus-terang.

“Katanya nak kenalkan kepada adiknya iaitu suami sayalah sebab sudah berkenan dan rasa macam sepadan. Entah kenapa, saya setuju sahaja. Mungkin sebab adik dia suka menolak sebelum ini. Jadi mesti dia tolak saya juga. Tidaklah rasa bersalah kepada kakak dia. Sebelum ini, saya tak pernah tengok lagi adik dia macam mana.

“Sangkaan saya, adiknya jenis gempal-gempal juga. Sebab bentuk badan kakaknya juga sama macam saya. Tetapi rupanya salah. Kakak suami cakap, nak bawa adik dia datang rumah saya. Dia juga tak sangka adiknya setuju nak datang tengok saya. Agaknya sampai seru kata kakaknya. Saya adalah maklum juga dekat keluarga.

“Respon keluarga saya sangat positif. Mula-mula tengok dia, memang nampak tak padan langsung dengan saya. Suami ini ada macam rupa benggali sedikit. Mereka memang darah campuran. Cuma kakak dia agak gelap. Berbeza dengan suami. Dia agak tinggi, berkulit putih, penampilan kemas dan badannya juga kurus serta tegap.

“Keluarga saya sangat berkenan dengan suami. Sebab dia sangat sopan. Cuma kata kakaknya, dia sangat pendiam. Jawab sepatah-patah. Jawab apa yang orang tanya sahaja. Kata kakaknya mungkin sebab dari kecil, F sekolah asrama. Jadi tak rapatlah dengan keluarga. Saya ingat F akan menolak rancangan kakaknya macam biasa.

“Rupanya suami tak kisah. Macam mimpi pula saya nak berkahwin dengan dia. Saya pula memang berniat nak berumahtangga. Jadi setuju sahajalah. Saya juga sedarlah yang kelemahan diri ini banyak. Disebabkan suami yang merisik saya, keluarga kami setujulah. Majlis untuk mempersatukan kami memang berjalan dengan sangat cepat. 

“Dalam tempoh itu, saya tak pernah bersembang langsung dengan suami. Dia juga tiada nombor telefon saya. Sebenarnya saya rasa macam was-was. Risau perangai dia selepas kahwin macam mana. Kenapa dia setuju kahwin dengan saya yang tak padan langsung dengannya. Tiba-tiba banyak pulalah fikiran buruk saya melintas.

“Saya juga fikir, takut jika bakal suami suka pasangan sejenis. Tetapi mak saya kata dia nampak baik. Tak merokok pula. Mak cakap fikiran saya itu hanyalah gangguan syaitan. Akhirnya kami diijabkabulkan. Majlis kami diadakan untuk belah saya sahaja sebab keluarga suami tak ramai. Selepas kahwin duduk rumah mak saya seminggu.

“Waktu itu cuti sekolah. Seminggu itu, suami langsung tak sentuh saya. Cakap pun tak. Saya sahaja yang bertanya sama dia nak itu atau ini. Kalau nak dia hanya jawab ‘hmm’ dan geleng kepala kalau tak nak. Dia punya tahap tak bercakap, masa tengah bersanding boleh turun daripada pelamin kami sebab nak pergi ambil air sahaja.

“Padahal boleh minta dari sesiapa. Anak saudara dia juga berada berdekatan. Kakak dia sampai marah. Tetapi dia diam sahaja macam tak peduli apa. Sejujurnyalah saya tertekan sangat masa itu. Fikir apa nak jadi dengan kehidupan saya nanti. Sebab dia nampak macam tak suka saya sahaja. Macam-macamlah saya fikirkan masa itu.

“Rasa macam nak gaduh juga ada. Nak tanya dia kenapa berkahwin kalau tak suka saya. Dalam hubungan suami isteri, komunikasi adalah sangat penting. Tetapi saya tak sangka dia sependiam ini. Seminggu itu, kami banyak berjalan ke rumah saudara. Ayah saya teruja sangat dapat menantu sulung. Ajak dia berjalan ke sana dan sini.

“Sebabnya, nak kenalkan kepada saudara mara. Suami ikut sahaja. Dia jenis banyak mendengar tetapi responnya kurang. Adalah kakak ipar mesej saya bertanya khabar. Terus terang cakap adik dia langsung tak bercakap dengan saya. Saya kata, entah-entah adiknya terpaksa kahwin sebab kakak paksa. Jawabnya, nanti dia nasihat.

“Kakak suami cuma minta saya sabar sebab adik dia memang tak bercakap banyak. Mungkin pemalu dengan perempuan juga. Sebab adik dia sekolah lelaki. Tak pernah kawan langsung dengan perempuan. Saya terima sahaja kata-kata kakaknya. Saya faham, mungkin dia juga janggal dan kekok. Saya berikan ruang untuk kami berdua.

“Suami Alhamdulillah, rajin solat. Tetapi solat seorang diri sahaja. Cuma sehari dua selepas itu, ayah ajak dia solat dekat masjid sebab nak bagi orang kampung kenal. Suami ikut sahaja. Selepas itu, saya ada cakaplah nak berjemaah. Dia jawab ‘hmm’ sahaja. Tunggu jugalah saya dekat sejadah. Tetapi tetap tak bercakap apa sangat.

“Ibaratnya kita kena faham sendiri. Kalau lima jam saya tak muncul, agaknya selama itu jugalah suami tunggu. Tak mungkinlah nak panggil saya. Selepas solat, saya hulur tangan. Dia macam termanggu-mangu. Tak hulur balik tangan dia. Lama-lama, saya belajar faham rentak dia. Seminggu kemudian, dia mula kemas semua barangnya.

“Suami kan duduk rumah sewa. Tetapi dia cakaplah, sebenarnya ada rumah sendiri. Cuma tak duduk. Sekarang nak pindah rumah itu sebab sudah kahwin. Jadi waktu itu keluarga saya tanyalah nak tolong kemas apa-apa tak? Dia cakap tak mengapalah, sudah uruskan orang. Cuma cakap dia akan tinggalkan saya dekat sini dahulu.

“Suami akan datang ambil selepas seminggu dia. Tetapi semua ini dia cakap kepada ayah saya sahaja. Langsung tak maklumkan kepada saya. Tetapi saya masih boleh bersabar waktu itu. Ayah tanya, kenapa tak bawa saya. Dia cuma diam. Waktu salam dia, saya cakap kalau sudah sampai rumah beritahu. Dia angguk tetapi tak beritahu.

“Salam pun tak nak beri tangan mula-mula. Selepas ayah datang barulah di hulurkan tangan. Tertekan betul, macam hipokrit pun ada. Oh ya, saya berasal dari Perak. Dia pula orang Perlis. Jadinya waktu itu dia nak balik Perlislah. Saya juga mengajar di situ dan menyewa sebelum ini. Maknanya selepas ini, kami akan tinggal di rumah dialah.

“Sepanjang masa suami balik, tak pernahlah dia cuba menghubungi saya. Ayah juga asyik tanya dia sudah sampai atau sebaliknya. Masing-masing memang risau sebab kebetulan, cuaca buruk. Saya telefon tetapi dia tak jawab. Mesej pun dia tak tengok. Sudah pukul 8 malam baru dia jawab. Boleh pula masa itu dia tanya, ‘Siapa ini?’.

“Saya katalah Zana. Suami tanya balik Zana mana. Ya Allah, sakit kepala saya masa itu. Sama ada dia serius ataupun memang sengaja tak tahulah. Kemudian saya kata ini isteri awak. Dia hanya jawab, ‘Oh, ada apa?’. Memang naik anginlah saya. Panjang jugalah saya bebel dekat dia. Seminggu selepas itu, memang dia datang ambil saya.

“Tetapi keluarga saya ikut jugalah waktu itu. Sebab nak hantar saya dan bawa kereta sekali. Keluarga saya tidur di rumah suami selama tiga hari. Ketika itu, dia sudahpun mula bekerja tetapi sempat juga bawa keluarga saya makan di luar dan jalan-jalan. Dia baik-baik sahaja. Tetapi selepas keluarga saya balik baru nampak perangainya.

“Sampai sekarang, saya rasa belum mampu nak menyesuaikan diri lagi. Baik, rumah suami ini semuanya serba putih ye. Langsir, cat dan semua perabot berwarna putih termasuklah di dalam bilik. Memang cantik dan tenang apabila dilihat. Iyalah, dia siap panggil pereka dalaman buatkan. Tetapi kesan kotor sangatlah mudah terlihat.

“Suatu hari, suami pergi kerja pukul 9 pagi. Dia akan pulang ke rumah pada pukul 5 tepat. Tetapi hari itu saya pesan dekat dia untuk balik makan tengah hari di rumah. Saya masak. Kebetulan ada dua hari baki lagi cuti saya sebelum masuk kerja. Jadi saya pergilah ke kedai untuk beli barang basah pakai sandal. Balik itu nak cuci baju.

“Rumah suami ni ada tanah keliling. Jadi di bahagian kiri, dia buatlah tempat khusus mencuci. Mesin basuh dan ampaian semua dekat situ. Semasa nak jemur baju, saya pakai selipar sahaja. Ikut pintu depan. Selepas itu buat kerja sambil tunggu dia balik. Katanya sampai pukul 1. Kita pula baru kahwin, rasa terujalah nak sambut suami.

“Dengar bunyi kereta dia, terus pergi depan pintu nak sambut suami. Dia keluar dari kereta tetapi terus pandang bahagian ampaian. Dia jalanlah ke ampaian itu dan sidai semula semua kain baju mengikut warna. Selepas itu, dia ambillah baju kemeja yang sudah disidai dan letak dekat penyangkut baju. Kemudian sangkut di ampaian lain.

“Suami cakap kalau baju kemeja dia buat macam ini. Kalau kering nanti ambil sekali dengan penyangkut dan masukkan ke dalam almari. Selain ikut warna, baju kurung saya disidai mengikut padanan. Dia susun semula sepasang baju dan kain sebelah-sebelah. Sebelum masuk rumah pula dia pandang semua sandal dan selipar saya.

“Saya memang biar macam itu sahaja. Tetapi suami jenis masukkan terus ke dalam almari walaupun nak pakai lagi. Dia nak masukkan saya punya jugalah. Tetapi saya halang cakap nak letak sendiri. Selepas itu dia pergi tolak kasut-kasut itu guna kaki, susun macam dekat asrama. Siap pesan kalau pakai selipar, guna pintu belakang. 

“Masuk dalam rumah, suami pandang pula kunci kereta saya atas meja. Dia ambil dan gantung dekat tempat kunci. Suruh ambil beg duit saya, letak dalam bilik. Saya cakaplah belum naik atas balik pasar tadi, itu yang tinggal di situ. Dekat meja bulat itu ada satu pasu bunga kecil. Mungkin sedikit teranjak, dia betulkan semua itu.

“Siap susun bantal kecil dekat sofa pada kedudukan betul. Saya rasa janggal dengan kelakuan suami masa itu. Masa nak makan pula dia susun semula pinggan nasi, lauk semua itu ebaris memanjang. Dari rendah ke tinggi. Pinggan dengan cawan untuk dia pula dibasuh lagi sebelum saya cedok nasi. Padahal saya sudah bilas sebelum letak.

“Ketika makan, saya teringat ada potong buah tadi. Nak ambiklah dari peti ais. Jadi selepas saya bangun, suami boleh tolak kerusi itu masuk ke dalam. Ya Allah. Teruslah tanya kenapa masa keluarga saya ada dia tak bersikap seperti itu. Dia diam sahaja. Ketika itu sudah fikir suami mungkin menghidap kecelaruan obsesif-kompulsif (OCD).

“Malam itu kira kali pertama kami berdua sahaja. Tanyalah suami jika ada masalah dengan saya. Dia geleng kepala. Tetapi tak lama kemudian, dia mungkin nampaklah sehelai rambut saya dekat lantai, cepat-cepat pergi sapu. Saya buat tak tahu, buka televisyen (TV) Dia datang juga dan susun alat kawalan jauh supaya semuanya lurus.

“Tujuh bulan hidup dengan suami, saya faham dia tak boleh tengok benda tak tegak. Alatan solek saya juga disusunnya sebaris, mengikut ketinggian. Paling tinggi dekat belakang. Samalah barang-barang dapur juga seperti botol sos ke. Malah barang di dalam peti ais juga dia yang susun. Setiap hari akan periksa semua dalam rumah.

“Macam-macam larangannya. Selepas balik kerja tak boleh baring atas sofa. Sebab itu untuk duduk, bukan tempat letak barang atau baring. Sebabkan saya sudah mula bekerja, adalah kawan berikan set pingan mangkuk sebab tak dapat datang kenduri. Jadi malam itu saya guna pinggan baru. Terkejut suami tanya mana pinggan lama.

“Saya cakap dalam almari. Kalutlah suami keluarkan semua pinggan dia yang putih itu dan masukkan lauk pauk di dalamnya. Satu hari saya persoalkan macam-macam termasuk perihal kami yang tak pernah bersama. Dalam pukul 9 lebih itulah dia suruh pergi mandi lagi kalau nak. Risau pula badan saya berbau. Siap tanya oranglah.

“Semua orang termasuklah kawan dan keluarga cakap saya tak berbau. Jadi selama tujuh bulan kahwin, suami akan sentuh kalau saya baru sudah mandi. Kalau pukul 10 dia nak, suruhlah saya mandi lagi. Nak masak pun disuruhnya saya ini mandi dahulu sebab dia ada terjumpa satu helaian rambut di dalam masakan. Astaghfirullah.

“Macam manalah kalau kami ada anak, dicontengnya dinding yang putih itu. Saya ini sudah sehabis baik ikut segala kemahuan suami. Tetapi saya juga hanyalah manusia yang penuh kelemahan. Semua perbuatan saya tak senang di matanya. Malah setiap malam saya berendam air mata. Tetapi dia tak tanya pun kenapa saya menangis.

“Agaknya saya mati pun suami tak peduli. Banyak sangat-sangat nak luah tentang luka di hati ini sebenarnya. Ini belum lagi cerita mengenai sikap dia setiap kali saya naik keretanya. Ya Allah, ujian apalah semua ini. Tolonglah berikan kata-kata semangat dekat saya ini. Tetapi jangan pula berikan nasihat kepada saya untuk bercerai. 

“Sebab saya sangat sayangkan suami. Cuma penat nak ikut rentak dia setiap masa. Tolong nasihat saya macam mana nak kendalikan sikap dia. Agaknya suami ini ada penyakit ke? Ada penyelesaian tak? Mohon bantu tinggalkan cadangan.” Tulis Zana (bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran di sebuah forum atas talian.

Baca juga: Lesap RM34k begitu sahaja, wanita bangun koma terkejut barangan peribadi hilang